clixsense

Rabu, 27 April 2016

Kekuatan diri bukan kerana kelemahan lawan..

Sudah lama tidak menaip di blog ini.. blog yang dulunya tempat meluahkan perasaan, semangat dan keinginan sebagai insan kecil yang terheret ke dunia siasah.. bidang yang saya sudah terdedah sejak kecil kerana arwah ayah seorang  yang sangat komited kepada tanggungjawabnya terhadap kemasyarakatan dan parti yang didokongnya. Seringkali saya mendengar arwah berbincang hal – hal parti dengan kawan kawan dan kenalannya, saya terpegun dengan idea dan toleransi bila berhadapan dengan sesiapa sahaja termasuk dari parti lawan.
Di Blog seperti ini ia boleh menjadi kekuatan kepada diri dalam menzahirkan halatuju sokongan dan fikiran tetapi blog seperti ini juga boleh mengundang kemudaratan kepada diri apabila pihak yang dituju menjadi marah atau tidak bersetuju dengan apa yang dikomentar. Barangkali inilah satu sebab kenapa jarang pemimpin yang berani meluahkan kecenderungan diri dalam politik mereka untuk tatapan umum, lebih senang menjadi diam tanpa meluahkan isi hati kerana risau dengan kepentingan diri, keluarga juga penyokong.

Ketika menaip luahan ini semua pemimpin kerajaan dan pembangkang sedang sibuk berkempen untuk pilihanraya negeri Sarawak 2016. Dalam menuju ke arah PRU14 pembangkang sebelumnya begitu galak menyerang Perdana Menteri dan keluarga dengan pelbagai isu sama ada dicipta atau dibesarkan isu.. Perdana Menteri begitu hebat diserang malahan terpaksa memecat Timbalannya, merombak kabinet dan menyusun semula struktur penjawat serta gerak parti UMNO untuk melawan terjahan pembangkang yang mereka yakin akan mendapat kuasa dalam pilihanraya umum ke 14 nanti. Masa sukar Perdana Menteri semakin jauh dan kini tanda tanda masa gembira bagi Pihak pembangkang pula akan berlalu, 2 kerusi Dun PRN Sarawak sudah tidak ada perlawanan kempen, satu kelebihan moral untuk Barisan Nasional lantas memberi gambaran akan menang dengan penambahan kerusi Dun bagi Kumpulan Adnan. Pakatan Pembangkang seperti tiada erti apabila mereka bertembung sesama sendiri untuk berdepan dengan calon BN.

Di dalam keyakinan yang tinggi, Naib Presiden UMNO Dato Seri Hishamuddin Tun Hussin menasihatkan penyokong agar jangan terlalu yakin dan berharap kemenangan di atas perpecahan lawan sebaliknya teruskan gerakkerja dan bina kekuatan sendiri bukannya atas faktor perpecahan pihak lawan. Pesanan ini sebenarnya terpakai untuk seluruh parti Kerajaan. Ia lebih sesuai ditujukan kepada UMNO Kelantan yang sudah menanti lebih 25 tahun untuk merebut Kota Darulnaim, perpecahan pihak lawan iaitu PAS diharap akan memberi kelebihan kepada BN tetapi harus diingat tidak semudah itu PAS akan memberi laluan tambahan lagi  mereka sudah mencengkam dan membina penyokong sendiri yang setia dan tegar yang dilatih sejak dibangku PASTI biarpun Ikon mereka Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah tiada tetapi selama lebih 25 tahun juga UMNO Kelantan terhakis sokongan dan semangat perjuangan melemah, umpama satu bangsa yang lama dijajah, mereka sudah semakin tidak mengapa berada dibawah pentadbiran penjajah seumpama rakyat Hong Kong yang tidak gembira untuk kembali ke pangkuan Tanah Besar Cina kerana mereka sudah lali, tidak merasa apa bebanan berada dibawah kuasa penjajah… mencari kesalahan PAS di Kelantan umpama mencari kesalahan pekerja yang tidak hadir bekerja.