clixsense

Khamis, 14 September 2023

Isham Jalil, Ahli MT... Orang bawah semakin marah dengan kamu.


Sekian ramai ahli Umno yang meminati dan bersetuju dengan pandangan dan tulisan oleh Isham Jalil. tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Zahid Hamidi sebenarnya menjadi peminatnya nombor 1 hingga mengangkatnya daripada ketua penerangan Umno Selangor menjadi Ketua Penerangan Umno Malaysia.

Itu dulu... itu cerita sewaktu Umno sangat sangat lemah dan berada di luar kerajaan. Kemunculan Isham Jalil dan ideanya adalah penyelamat Umno ketika Shahidan, Khairy, Noh, Shahril, Annuar galak membantai parti dan presiden sendiri, kerosakan oleh mereka sedikit terubat dengan adanya Isham Jalil selain Lokman Adam.

Kini Isham Jalil masih bersuara lantang dan berani serta bercakap atas kebenaran tetapi saya dan ramai saki baki pengikut tegar Umno sudah tidak lagi meminati dan bersetuju dengan cara Isham Jalil. Isham Jalil kini bertindak seperti Hang Jebat yang menyatakan kebenaran pada masa, tempat dan khalayak yang salah. Kecerdikan Isham Jalil bertukar menjadi hampir bodoh kerana kesombongan dan sikap kurang matang dalam menangani karenah kepimpinan tertinggi Umno.. dah nama pun majlis tertinggi pertimbangan dan diplomasi peringkat tinggi sangat dituntut sebagaimana pepatah Melayu menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung tidak berselirak.

Seorang yang berada dalam Majlis Tertinggi tidak mampu berbincang, bermesyuarat atau berjumpa secara berdepan dengan presiden untuk menyatakan apa yang terkandung dalam hati dan fikirannya sebaliknya mengambil jalan menghebahkan bukan sahaja kepada orang Umno bawahan tetapi juga memberi peluru percuma dan membuka kelemahan presiden serta kawan kawan dan parti kepada seluruh dunia yang termasuk juga seteru dan parti politik lawan.. Bertepuk tanganlah orang PAS, Bersatu juga Syed Sadiq dan KJ yang sangat suka mencari kelemahan serta isu dalaman Umno.

Isham Jalil telah menurut jejak Lokman Adam yang dulu.. Lokman Adam yang dipecat daripada MT kerana dikatakan menjadi anai anai kepada rumah Umno pada waktu itu, dan sekarang Isham Jalil akan dikenakan tindakan yang serupa jika beliau gagal menggunakan kecerdikan dan ideanya di tempat yang betul. Lokman Adam juga tidak membantu menjernihkan keadaan jika menurut tarian Isham Jalil dengan bergaduh di media sosial. Kedua- duanya akan menjadi ahli Majlis Tertinggi yang tidak membantu dalam memperkukuhkan parti.

Kerosakan dan perpecahan Umno kini bukan bermula daripada bawah tetapi ia bermula daripada Ahli Majlis Tertinggi. Ahli Majlis Tertinggi yang melaungkan solidariti dan perpaduan dalam parti sudah menjadi ketam mengajar anak berjalan betul. Ahli di bawah sudah meluat dan bosan dengan perangai begitu. Cukuplah ahli ahli di bawah serabut dengan kerenah pemimpin di Bahagian ditambah pula dengan beberapa orang ahli MT yang semakin hilang fokus dan tujuan mereka dipilih untuk memperkuatkan parti. Mereka menjadi seperti tikus baiki labu.

Mengecam DAP, memperlekeh PAS serta memandang rendah BERSATU tetapi parti sendiri tidak boleh bersatu hati sebagaimana DAP, tidak mampu setia sebagaimana PAS juga tidak fokus seperti BERSATU.

Kepada Isham Jalil, Lokman Adam juga Fuad Zarkashi sudah sudahlah menjadi hero kelompok kecil Umno.. lihat kepada rumah yang semakin senget dan badai PRU16 yang akan datang bakal merempuh rumah itu. kamu semua Ahli MT ada whatsapp grup ada bilik mesyuarat dan ada akses untuk jumpa empat mata jangan memalukan kami orang dibawah ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan