clixsense

Isnin, 8 Mei 2023

PRN : BN & UMNO Tiada pemimpin terbaik... pasti Kalah lagi

Orang Umno tidak menafikan peranan dan usaha Datuk Seri Zahid Hamidi menyelamatkan Umno dan seterusnya berjaya memimpin Umno kembali menjadi kerajaan biarpun dengan sokongan rakyat yang semakin mengecil. Zahid Hamidi masih diberi kepercayaan walau beliau sepatutnya meletakkan jawatan bersama Datuk Seri Najib selepas Barisan Nasional tewas dalam PRU14. Orang Umno masih memilih beliau dalam pemilihan 2018. DS Zahid diberi kepercayaan lagi. Kemuncak kepercayaan ahli Umno kepada beliau adalah apabila akar umbi dengan rela akur menyokong tindakannya mengenakan hukuman kepada sebilangan pemimpin Umno juga tidak membantah dalam pemilihan calon untuk pilihanraya atas kepercayaan DS Zahid dalam usaha memulihkan Umno.

Kekalahan pada PRU15 yang begitu ketara menunjukkan bahawa DS Zahid dan ahli Umno sendiri boleh memilih jalan menguatkan parti tetapi tidak pandai menangani punca kemerosotan sokongan rakyat. Dalam pada itu pemimpin Umno terus berlumba lumba ingin menjaga parti biarpun tidak dapat meneka kehendak rakyat. Sebilangan pemimpin pula merasakan merekalah yang terbaik dan paling layak mengendalikan parti Umno. Di dalam pemilihan yang terbaru Umno yang sebelumnya sudah beransur memutih dan mengenal pasti siapa si kitol, siapa pembelot dan siapa lari dari perang akhirnya terpaksa mengangkat semula pemimpin yang dilabel macam macam hanya dengan alasan menjaga parti yang sebenarnya adalah untuk menjaga kedudukan diri serta pemimpin tertentu. Selepas hilang sokongan rakyat Umno mengundang kemarahan dan ketidakpuasan hati di dalam parti pula. Kemelut mencari pemimpin ideal ini akan terbawa bawa kepada Pilihanraya di enam buah Negeri. 

Pilihanraya Negeri Sembilan masih tercari cari panglima perang, Mohamad Hassaan bukan lagi dianggap komander negeri Sembilan apalagi pada pru2018 BN tewas di negeri ini, Umno juga belum mempunyai pengganti dikalangan anak muda sebagaimana KJ.  Datuk seri Jalaluddin Alias pula walaupun sentiasa menang pilihanraya samada Dun atau Parlimen tetapi untuk mencipta faktor wow beliau masih tidak menunjukkan apa apa yang boleh mengubah keadaan BN yang hanya memenangi 16 kerusi 15 kerusi adalah UMNO sedangkan PH mempunyai 20 kerusi dengan 11 daripadanya adalah DAP, sekaligus menafikan monopoli BN. 

Pulau Pinang pula adalah kubu kebal DAP, ia sudah menjadi jolokan Singapura 2 dikalangan orang orang Melayu. Tidak ada harapan untuk Umno juga PAS untuk berkuasa di Pulau Pinang, mau tidak mahu DAP mesti menjadi Ketua Menteri, Umno masih gagal menamakan panglima perang atau pemimpin yang boleh membawa kekuatan semula Umno di Pulau Pinang. Datuk Musa syeikh Fadhil adalah orang lama yang sudah kehabisan strategi hanya meneruskan cara lama yang pasti menjadikan Umno di takuk lama.

Negeri Sembilan dan Penang PH akan menang di kedua dua negeri tersebut. Di negeri ini BERSATU dan PAS khasnya tidak laku untuk mencanangkan keadilan, ketelusan, pembangunan atau memainkan isu agama. Negeri Bersekutu dan negeri Selat ini adalah fix deposit PKR dan DAP yang juga parti parti dalam kerajaan Perpaduan bersama BN, di negeri ini BN perlu tarik diri dan hanya menerima sahaja beberapa kerusi ehsan oleh PKR dan DAP, BN jangan banyak tuntut kerana kerusi yang mereka dapat itulah yang mereka dapat menang. BN mesti akur jika ingin terus bersama dengan kerajaan.

Suara Noh Omar yang bergegar di Selangor sudah tidak bersama BN, begitu juga Datuk Seri Jamal Yunos yang sudah hilang rentak. Namun BN Selangor ada suara Isham Jalil dan Lokman Adam tetapi suara mereka tidak disenangi oleh bangsa selain Melayu, walaupun Isham Jalil bercakap dalam lingkungan kestabilan politik tetapi bangsa lain melihat dia adalah suara orang Melayu yang akur kepada Umno sebagaimana Adnan Seman, mereka sukar untuk menang tapi mudah untuk kalah kalau bertanding dalam pilihanraya begitu juga Lokman Adam yang secara jelas dan terlalu agresif memperjuangkan orang Melayu Islam serta masih istiqamah mengangkat DS Najib bukan DS Anwar juga tidak Zahid Hamidi.. Lokman Adam ancaman kepada parti parti lain yang sentiasa tidak mahu Umno kembali bangkit.

Di negeri Terengganu, trend kerajaan bertukar tangan sudah berlalu. PAS akan kekal mentadbir negeri terkaya di Malaysia ini. Pemimpin Umno BN yang ingin diangkat semula adalah DS Mohd Said,  pemimpin yang sudah diberi peluang namun Mohd Said bukan pemimpin yang mewakili seluruh rakyat beliau adalah pemimpin mewakili Umno berhaluan keras dan gedebe serta tidak mengikut arahan. Pemimpin sebegini tidak sesuai untuk berada dihadapan. Di Terengganu pemimpin sebagaimana DS Idris Jusoh masih belum ditemui dan Idris Jusoh sendiri bagaikan sudah tidak lagi berminat untuk menerajui Terengganu lagipun beliau bukan seorang yang mengejar impian besar untuk peribadi atau masih mahu mengejar kedudukan dalam parti Umno walaupun di Bahagian Besut.

Di negeri Kelantan, sebagaimana ditempat lain Umno tidak ketandusan pemimpin tetapi pemimpin Umno BN di Kelantan terbahagi kepada beberapa kelompok dan tidak ada seorang pun pemimpin Umno BN Kelantan yang menarik minat seluruh rakyat bukan sahaja rakyat Umno tetapi juga PAS. pemimpin yang sebegini pernah ada di kelantan iaitu TS Annuar Musa tetapi beliau sudah dipecat keahlian kerana kedegilannya melawan pendirian parti sudah tidak boleh dimaafkan. BN juga pernah hampir dapat merampas Kelantan dengan gaya kepimpinan DS Mustapha Mohamed yang barangkali tidak ada tuah kerana Tok Pa ditakdirkan sezaman dengan DS Nik Aziz yang mempunyai kelebihan dalam agama walaupun Tok Pa ternyata lebih berilmu dalam pengurusan dan ekonomi namun budaya menghormati guru dan tokoh agama telah memihak kepada PAS. Tok Pa akhirnya tidak dihormati oleh orang Umno kerana meninggalkan perjuangan, sekali lagi Umno Kelantan kehilangan pemimpin bila Tok Pa mensia -siakan peluang waktu Nik Aziz sudah tiada lagi.

Kini Umno BN Kelantan diterajui oleh Ahmad Jazlan yang satu masa sangat popular dan menang di Machang atas populariti diri sebagaimana Anwar Musa dan Ikmal Hisham di Tanah Merah tetapi Jazlan bukan kategori Ku Li yang menang tanpa perlu bersngseng lengan dalam pilihanraya. Datuk Jazlan sudah tidak lagi menjadi kekaguman orang Umno Kelantan apatah lagi untuk dapat mencuri sokongan orang PAS. Selepas pemilihan Datuk Jazlan sudah membina rangkaiannya sendiri, langkah ini adalah biasa dalam mana mana parti politik pun namun percaturan terutama di Kelantan yang mana Umno diselubungi kelesuan akibatnya beberapa bahagian mencerminkan ketidakadilan dan ketidaktelusan  dalam pemilihan, ini pasti akan diterjemah dalam pilihanraya sebagaimana Nik Amar dengan yakin mensasarkan 45-0 dibalas oleh orang Umno BN 43-0, hanya mampu pertahan sehabis baik 2 Dun sahaja merujuk kepada Gua Musang. 

Hanya negeri Kedah yang berkemungkinan Umno BN dapat mengambil semula itupun jika PKR dan Amanah memberi kerjasama erat. Di Kedah tidak ada tokoh Umno yang menonjol walaupun untuk menyaningi suara- suara sumbang dan angkuh MB Sanusi. BN dan Umno Kedah sudah hilang peneraju yang menyakinkan rakyat. Umno Kedah hanya menonjol bila ada perebutan kerusi MB sebagaimana yang berlaku di Melaka baru baru ini.

Dari peringkat pusat PWTC hingga ke perhubungan Umno Perlis hingga ke Sabah Umno tidak ada pemimpin yang benar- benar menjuarai rakyat. Pemimpin Umno yang dulunya lantang sudah berpindah parti atau dipecat. Kini hanya tinggal DS Zahid Hamidi yang suara dan peranannya masih ada namun jika tanpa Isham Jalil, Lokman Adam, Azalina serta Shamsul Anuar Nasarah Umno sudah boleh  menjadi pemerhati sahaja. Tiada suara Umno di Parlimen, ia tiada tarikan untuk mendapat sokongan rakyat sebagaimana zaman kegemilanga. Biarpun ramai orang Umno mendendangkan "patah tumbuh hilang berganti dan Umno tidak ketandusan pemimpin". Sedarkah bahawa UMNO sudah tandus pemimpin vokal, praktik,berani dan berkualiti.. pemimpin organisasi sentiasa berganti tetapi Umno BN masih belum menemui pengganti  lihat sahaja Ketua Puteri, Ketua Pemuda serta Ahli MT Umno kini adakah mereka menepati piawai sebenar pemimpin Umno atau sekadar tangkap muat.

Untuk menghindar daripada Umno terus dijadikan sejarah dan masuk muzium. Seluruh anggota dan kekuatan Umno mesti membebaskan Datuk Seri Najib. Hanya fenomena Bossku yang Umno ada sebagai pemimpin terakhir sebelum Umno dapat menemui dan membina semula kepimpinan serta pelapis baru. DS Najib adalah tokoh terakhir yang lahir daripada akar umbi dan berpengalaman luas dalam politik. Siapa lagi yang boleh menyaingi Annwar, Muhyiddin, Hj Hadi atau Anthony Loke kalau bukan DS Najib. Pembebasan Najib bukan penghalang kepada mana mana pemimpin Umno termasuk Zahid Hamidi, hanya cara Najib, keikhlasan Najib dan setiakawan Najiblah yang boleh meletakkan Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan