clixsense

Selasa, 18 Januari 2022

ECRL.. Rakyat Bachok Terpinggir

Dalam majlis perjumpaan jentera pilihanraya bersama kepimpinan UMNO Bahagian malam ini, beberapa perkara yang saya kira Datuk Ketua UMNO Bahagian Bachok telah menunjukkan rasa tanggungjawab dan ingin meluahkan harapan bangsa serta masyarakat tempatan yang diwakilinya atas kapasiti seorang ketua kepada sebuah parti yang kembali menerajui negara.

Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Hj Mohd Zain Yasim mengesahkan beberapa perkara ada dibincangkannya bersama Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan. Dalam melahirkan kebimbangan kepada generasi akan datang terutamanya orang Melayu, Datuk Hj Mohd Zain menegaskan bahawa para pakar dan ilmuan bangsa Melayu seperti profesor mestilah secara serius diletakkan dalam situasi menguasi Institusi Pengajian Tinggi oleh kerajaan,

Ketua UMNO Bahagian Bachok itu juga sudah meletakkan dirinya sebagai seorang yang peka dengan apa yang menjadi kekecewaan dan harapan punah orang orang di daerah Bachok, dan saya kira apa yang diajukan kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sepatutnya menjadi lebih mudah jika wakil rakyat yang mewakili Parlimen Bachok juga tegas dan senada dengan sokongan 3 wakil rakyat Dun Tawang, Pantai Irama dan Jelawat, mereka kesemuanya adalah daripada parti PAS yang sepatutnya menjadi juara orang Bachok dalam Isu ECRL yang mana sudah diketahui bahawa laluan ini dalam bahasa kasarnya telah dirompak secara tidak adil. Perkara inilah yang ingin saya ulas sedikit kerana sebelum ini saya telah membuat tulisan berkenaan perkara yang berkaitan di Batal ECRL Keputusan Tepat Tun M

Zaman Dato Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri ECRL telah di rangka akan melalui daerah Bachok bermula di Tok Bali - Jelawat dan berakhir di Tumpat, Alhamdulillah rangkaian keretapi ini benar benar mengambil kira impak ekonomi kepada daerah Bachok serta memberi kemudahan kepada rakyat menggunakan stesen di Jelawat sekaligus memberi kemudahan kepada pelajar di kampus Utama UMK. Kerja- kerja pembinaan berjalan lancar dan proses ambilan tanah tidak ada rintangan.

Namun, undi rakyat Malaysia yang memenangkan Pakatan Harapan telah membenarkan bekas pendera rakyat Kelantan selama berdekad kembali menunjukkan kuasa dan egonya semula. Perdana Menteri parti minoriti BERSATU telah melakar semula laluan yang kononnya lebih menjimatkan dengan laluan lebih pendek yang sebenarnya adalah lebih mahal jika dikira purata dan kos berbanding laluan asal sebagaimana dijelaskan oleh Dato Seri Najib Razak. Laluan ke daerah Bachok dan stesen akhir di Tumpat dikeluarkan daripada projek laluan ECRL.

Saya rasa terharu bila Ketua UMNO Bahagian Bachok masih meminta agar Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul membuat pertimbangan semula tentang laluan ECRL, jika Perdana Menteri ingin memikirkan kemajuan daerah Bachok, fakta bahawa daerah Bachok akan terus ketinggalan berbanding bandar bandar lain di Malaysia sepatutnya tidak berlarutan, Ketepinggiran bandar Bachok yang dikatakan sebagai bandar ke 2 di Malaysia yang ketinggalan akan terus menuju kepada menjadi bandar tercorot dalam pembangunan. Mengikut pemerhatian pakar perbandaran, bandar Bachok bersama bandar Tumpat di Kelantan akan menjadi bandar sepi. 

Agak mengecewakan juga bila Datuk Ketua UMNO Bahagian Bachok memberitahu bahawa Perdana Menteri memberi jawapan bahawa laluan ECRL telah dimuktamadkan, jawapan yang saya kira tiada harapan untuk orang Bachok. Namun suatu yang Perdana Menteri dan Menteri kewangan perlu tahu adalah rakyat Bachok dan Malaysia semua tahu laluan ECRL yang telah dimuktamadkan oleh Dato Seri Najib juga boleh diubah dan pembinaan stesen dan tapak landasan yang sedang rancak dibina di Bachok juga boleh ditamatkan oleh Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Mahiaddin Yassin. Tapi mengapa Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri tidak boleh mengubah semula.

Dalam perkiraan saya sebenarnya wakil rakyat Bachok tidak ada kekuatan atau tidak mahu mendesak, saya tidak mahu pertikaikan apabila laluan dilencongkan ke parlimen Ketereh. Wakil rakyat kawasan lain tidak peduli kepada orang Bachok kerana mereka bukan wakil rakyat Bachok tetapi jika melihat kepada perjuangan parti UMNO seharusnya Dato Jazlan dan para menteri dari Kelantan bersimpatilah kepada Bachok, masukkan sekali daerah Bachok. bajet negara kamu dan rakan rakan kamulah yang tentukan ke mana hendak dihabiskan.

Kenapa perlu dilencongkan laluan ECRL ke parlimen yang sudah ada jalanraya dan bakal ada sambungan lebuhraya LPT dan Lebuhraya Gua Musang- KB yang hampir siap sepenuhnya. Apa pertimbangan bila Tok Bali bersempadan dengan Bachok sebagai pelabuhan dan Jelawat sebagai pusat pendidikan tidak mendapat kemudahan pengangkutan ini, janganlah tamak kepada kemajuan dan kepentingan hartanah di parlimen sendiri. Pasanglah telinga nun jauh di Sabah dan Sarawak mereka juga bercakap tentang pembangunan yang tidak seimbang antara Malaysia Timur dan Borneo. Apa kita mahu mendengar pula suara dari Bachok berkata mereka juga sedang dipinggirkan oleh kerajaan pusat.