clixsense

Selasa, 9 Jun 2020

PRU 15.. Pemimpin UMNO mula bernafsu besar..

Tulisan kali ini tercetus apabila saya dihubungi oleh pihak pihak yang cuba dapatkan pandangan saya apabila pihak mereka mula menerima laporan tentang beberapa orang pemimpin UMNO di Bahagian sudah mula membuat desakan kepada pimpinan PAS. Tuntutan semakin ketara apabila bahang pilihanraya umum tidak dapat dielakkan lagi, presiden UMNO sudah mula meminta jentera parti bersiap sedia untuk kemungkinan pilihanraya pada bila- bila masa. UMNO nampaknya lebih ke depan dalam hasrat untuk menghadapi hari mengundi jika dibandingkan dengan rakan dalam Muafakat Nasional. 


PAS masih menahan nafsu berbanding dengan UMNO, ini tidak hairan kerana PAS sejak berpisah dengan BN pada 1978 tidak pernah berpeluang untuk mentadbir kerajaan pusat. PAS lebih damai sekiranya pilihanraya masih jauh, ahli parlimen PAS boleh terus menjadi menteri, timbalan menteri dan jawatan jawatan dalam GLC serta lantikan politik. PAS berpeluang memperluaskan kegiatan serta pengaruh dengan platfom persekutuan. Ini cara yang selamat serta tidak memenatkan bagi PAS, selama ini PAS kepenatan menghadapi UMNO secara berterusan, tiba masanya PAS boleh berehat sebentar daripada pentas pentas ceramah atau mengusung tabung sumbangan ke seluruh pelosok negara. Jika pilihanraya berlaku PAS bukan memiliki kerusi terbesar antara parti- parti yang bertanding, kalau kemenangan diperolehi bersama UMNO mungkin PAS akan bernasib baik dan mendapat semula jawatan jawatan di pusat sepertimana diberi oleh kerajaan PN sekarang, tetapi PAS dalam apa cara tidak boleh mengatasi UMNO. Kemungkinan juga jika calon daripada bekas YB UMNO yang melompat ke BERSATU diberi tempat semula atas permintaan pihak sekutu, PAS tidak boleh menghalang dan terpaksa menghadapi risiko pengencilan YB PAS dalam kabinet. Inilah sebab penting yang menyekat keterujaan PAS untuk lebih awal menghadapi pilihanraya umum.

Di pihak UMNO ada dua hal yang mereka tidak mampu berselindung dalam menguruskan kerakusan dalam politik. Pertamanya pada tahun 2021 UMNO ada pemilihan, semua jawatan boleh direbut, inilah yang membuat Presiden UMNO mesti menggesa rakyat agar menyokong untuk pilihanraya awal. Jika tidak ada pilihanraya sebelum pemilihan kemungkinan jawatan Presiden UMNO sekali lagi akan dicabar, dan walaupun mungkin Zahid Hamidi boleh bertahan tetapi perbelanjaan untuk menguruskan perwakilan serta agen- agen memerlukan bajet besar dengan duit sendiri. Ini jugalah yang perlu dihadapi oleh ketua ketua UMNO di bahagian seluruh negara. Mereka lebih rela menghabiskan duit parti untuk pilihanraya daripada kepenatan dan menghabiskan duit saku untuk pemilihan. Inilah sahaja peluang untuk menjadi calon pilihanraya sebelum jika tewas dalam pemilihan tiada lagi peluang menjadi calon, ia mesti digesa dengan berstrategik.

Hal kedua yang ketara di pihak UMNO adalah permintaan kerusi calon terutama di negeri atau kawasan yang dikuasai oleh PAS. Pemimpin UMNO di sesetengah bahagian sudah mula meminta kerusi sekurang kurangnya satu kerusi untuk Ketua Bahagian dengan harapan tinggi boleh menjadi YB tanpa tentangan musuh tradisi. Desakan oleh UMNO ini jika terlalu keras dan mendesak akhirnya UMNO juga yang rugi. PAS tidak rugi apa apa dan jika mereka tidak bersama UMNO, mereka  masih boleh menjadi King Maker dalam penentuan kerajaan Persekutuan. 

Sebilangan orang orang UMNO yang tamak ini tidak mengambil kira sekiranya PAS membuat tuntutan serupa untuk pengagihan kerusi, lebih malang jika PAS berkeras hendak pembahagian kerusi secara 50- 50 apa yang jadi kepada cita- cita UMNO ia ibarat orang tamak selalu rugi.

Sebagaimana dalam carta di atas jumlah kerusi paling banyak dimenangi oleh PAS adalah di Kelantan, orang UMNO di sana mungkin terlupa bahawa Adun UMNO juga ramai di negeri negeri lain adakah Adun tersebut mahu berundur jika diminta oleh ketua PAS kawasan ? pemimpin UMNO di Kedah, Terengganu dan Kelantan usahlah menagih kerusi daripada PAS terutama Kelantan yang ketara sangat bahawa rakyat memilih calon PAS dan bukan UMNO sebagai pemimpin mereka, gunalah kaedah penyokong mana lebih ramai parti itulah yang diberi kerusi dan PAS pula tidak diberi laluan untuk walau satu kerusi seperti kerusi kerusi di Gua Musang dan kita percaya orang UMNO Gua Musang tidak akan mahu menyerahkan kerusi yang mereka menangi kepada PAS.

Bagaimana pula bagi negeri yang dikuasai oleh BN seperti Pahang dan Perlis serta negeri- negeri lain di Malaysia. Misalnya, sanggupkah DS Najib memberi satu kerusi percuma untuk PAS bertanding dalam kawasan Pekan atau mahukah UMNO menyerahkan kawasan yang mereka tewas tipis kepada PH untuk memberi laluan pula kepada calon PAS atas dasar semangat Muafakat Nasional, 

Jika dilihat kepada keputusan PRU14 yang lalu, kerusi parlimen di menangi UMNO sebanyak 54 dan kerusi dimenangi oleh PAS sebanyak 18 mahukah UMNO memberi 18 kerusi lagi kepada PAS untuk ditandingi dan PAS pula adakah rela berkongsi kuasa atau memberi sebahagian kerusi yang mereka menangi untuk UMNO.

Jika kedua- duanya sanggup berkorban silakan beri kerusi 50-50 serta bersedia untuk UMNO dan PAS menjadi Pembangkang semula kerana undi protes di kerusi kerusi tertentu boleh membuat UMNO dan PAS berputih mata. 

Formula terbaik dan jangan diusik oleh mana- mana pihak adalah kekalkan status quo sekarang.. kerusi dimenangi UMNO / PAS kekal milik mereka manakala di kerusi yang kalah jumlah undi lebih besar menjadi penentu siapa calon Muafakat Nasional.