clixsense

Rabu, 28 Oktober 2020

MT UMNO tidak mampu memenuhi hasrat ahli


Keputusan MT UMNO yang ingin meneruskan kerjasama dengan PN adalah satu keputusan yang  memihak kepada beberapa orang pemimpin UMNO yang bereterusan ingin bekerjasama dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan parti PPBM. Keputusan ini walaupun dicapai melalui mesyuarat beberapa peringkat tetapi ia bukanlah satu keputusan yang memberi gambaran pemimpin UMNO sudah bersedia untuk meninggalkan kerajaan malahan ia adalah satu penjelasan bahawa UMNO masih mahu bersama PN tetapi dengan kedudukan dan manfaat yang lebih baik dengan erti kata UMNO ingin menjadi yang kedua selepas PPBM. UMNO masih tidak mahu merebut peluang berada pada kedudukan tertinggi dengan alasan ia tidak akan disukai rakyat. Yang sebenarnya rakyat hanya ada 2 kumpulan, kumpulan memihak UMNO dan Kumpulan menolak UMNO, alasan yang dipilih adalah memihak kepada kumpulan rakyat menolak UMNO/ BN. Jika alasan ini difikirkan kenapa PH yang dipilih rakyat boleh  dijatuhkan atas nama kebaikan untuk rakyat adakah PPBM tidak boleh dijatuhkan kerana UMNO tidak boleh berbuat lebih baik kepada rakyat sekiranya UMNO menjadi kerajaan dan Perdana Menteri. 

Sekiranya juga pemimpin dan MT UMNO mengambil kira titah YDP Agong agar menyokong bajet 2021 yang akan dibentangkan, apakah bajet tidak boleh disokong sekiranya UMNO tidak menyokong Kerajaan PN. Bajet tetap boleh disokong walaupun sesiapa sahaja menjadi kerajaan kerana ia adalah sokongan ahli Parlimen secara individu.

Sangat menghairankan dan jarang berlaku pemimpin sebuah parti kecil boleh menjadi Perdana Menteri sebagaimana pemimpin PPBM. UMNO mempunyai kerusi yang lebih banyak daripada Bersatu, tetapi UMNO sebagaimana yang berlaku di Perak serta Sabah masih mengalah dalam mempertahankan hak dan kuasa. Sekiranya trend ini tidak diubah UMNO akan semakin mengecil dan tidak menjadi pilihan lagi pada pilihanraya, begitu juga kerusi mereka akan terus dilarikan. Tidak ada sebab untuk menyokong dan berada dalam parti yang besar jika tidak boleh menjadi pemerintah. Ia menjadi parti besar yang lemah yang dikuasai oleh para pemimpin yang selesa dengan kedudukan semasa dan lemah.

UMNO tidak mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada PKR dan Anwar Ibrahim (selepas PRU14 Wan Azizah) yang terlepas peluang untuk menjadi Perdana Menteri walaupun ketika itu ia boleh menuntut dan berkeras atas jumlah kerusi yang dimiliki, kini UMNO mengulangi kesilapan Anwar Ibrahim dan PKR yang menyangka kebaikan dan pengorbanan kepada kawan dan lawan politik akan dibalas kebaikan pula. 

UMNO dan sesetengah pemimpin juga masih tidak nampak bagaimana bekas Presiden mereka DS Najib yang paling teruk terkesan apabila UMNO hilang kuasa, DS Najib sebagaimana Anwar Ibrahim adalah pemimpin yang istiqamah dalam mempertahankan kepercayaannya. DS Najib gigih memperbetulkan semula apa yang dulunya menjadi kesilapan. DS Najib nampak apa yang perlu dilakukan termasuklah membuat cadangan boleh menyokong Anwar Ibrahim dengan syarat tanpa DAP. ramai yang berfikir bahawa DS Najib menyokong Anwar, mereka tidak nampak bahawa hanya Anwar yang boleh menggugat Perdana Menteri dan PPBM. UMNO sepatutnya boleh menunggu peluang apabila Muhyiddin dan Anwar tertarik dengan tawaran UMNO, mereka sekali lagi tidak nampak bagaimana selesanya PAS mendapat untung walau sesiapa menjadi Kerajaan. 

Mungkin Presiden UMNO nampak maksud tersirat oleh DS Najib, Setiausaha Agong UMNO juga boleh membaca apa kehendak dan harapan sebenar DS Zahid tetapi mereka bukan orang yang boleh mempengaruhi kehendak sesetengan pemimpin UMNO yang berada dalam kabinet.

Orang UMNO dan ramai yang tahu bahawa pemimpin UMNO yang berada dalam kabinet tidak sepenuhnya memperjuangkan masa depan parti UMNO, mereka tidak sanggup melepaskan apa yang diberi oleh Kerajaan PN mereka juga khuathir sekiranya UMNO dapat mengambil tempat PPBM belum tentu lagi mereka kekal pada kedudukan  hari ini, inilah yang mereka pertahankan, jika benar cubalah PM gantikan jawatan mereka. Kita akan dapat dengar bagaimana lantangnya suara mereka menggesa UMNO mendapatkan kuasa secara mutlak.

Keputusan UMNO memang demokratik namun ia tidaklah keputusan yang memberi semangat kepada ahli ia adalah keputusan yang memperlihatkan ketakutan serta jalan selamat sahaja bukan jalan untuk menguasai. Ia bukan jalan Sultan Muhammad Al Fatih mnenebang hutan, meratakan gunung melumur minyak untuk membawa kapal menuju tanduk emas dan menguasai Konstantinopel ia umpama langkah Sultan terakhir Sultan Mehmet VI  yang memberi peluang kepada barat untuk masuk ke dalam kerajaan menawarkan kedudukan dan kewangan yang akhirnya merosakkan Empayar Ottoman

Selasa, 9 Jun 2020

PRU 15.. Pemimpin UMNO mula bernafsu besar..

Tulisan kali ini tercetus apabila saya dihubungi oleh pihak pihak yang cuba dapatkan pandangan saya apabila pihak mereka mula menerima laporan tentang beberapa orang pemimpin UMNO di Bahagian sudah mula membuat desakan kepada pimpinan PAS. Tuntutan semakin ketara apabila bahang pilihanraya umum tidak dapat dielakkan lagi, presiden UMNO sudah mula meminta jentera parti bersiap sedia untuk kemungkinan pilihanraya pada bila- bila masa. UMNO nampaknya lebih ke depan dalam hasrat untuk menghadapi hari mengundi jika dibandingkan dengan rakan dalam Muafakat Nasional. 


PAS masih menahan nafsu berbanding dengan UMNO, ini tidak hairan kerana PAS sejak berpisah dengan BN pada 1978 tidak pernah berpeluang untuk mentadbir kerajaan pusat. PAS lebih damai sekiranya pilihanraya masih jauh, ahli parlimen PAS boleh terus menjadi menteri, timbalan menteri dan jawatan jawatan dalam GLC serta lantikan politik. PAS berpeluang memperluaskan kegiatan serta pengaruh dengan platfom persekutuan. Ini cara yang selamat serta tidak memenatkan bagi PAS, selama ini PAS kepenatan menghadapi UMNO secara berterusan, tiba masanya PAS boleh berehat sebentar daripada pentas pentas ceramah atau mengusung tabung sumbangan ke seluruh pelosok negara. Jika pilihanraya berlaku PAS bukan memiliki kerusi terbesar antara parti- parti yang bertanding, kalau kemenangan diperolehi bersama UMNO mungkin PAS akan bernasib baik dan mendapat semula jawatan jawatan di pusat sepertimana diberi oleh kerajaan PN sekarang, tetapi PAS dalam apa cara tidak boleh mengatasi UMNO. Kemungkinan juga jika calon daripada bekas YB UMNO yang melompat ke BERSATU diberi tempat semula atas permintaan pihak sekutu, PAS tidak boleh menghalang dan terpaksa menghadapi risiko pengencilan YB PAS dalam kabinet. Inilah sebab penting yang menyekat keterujaan PAS untuk lebih awal menghadapi pilihanraya umum.

Di pihak UMNO ada dua hal yang mereka tidak mampu berselindung dalam menguruskan kerakusan dalam politik. Pertamanya pada tahun 2021 UMNO ada pemilihan, semua jawatan boleh direbut, inilah yang membuat Presiden UMNO mesti menggesa rakyat agar menyokong untuk pilihanraya awal. Jika tidak ada pilihanraya sebelum pemilihan kemungkinan jawatan Presiden UMNO sekali lagi akan dicabar, dan walaupun mungkin Zahid Hamidi boleh bertahan tetapi perbelanjaan untuk menguruskan perwakilan serta agen- agen memerlukan bajet besar dengan duit sendiri. Ini jugalah yang perlu dihadapi oleh ketua ketua UMNO di bahagian seluruh negara. Mereka lebih rela menghabiskan duit parti untuk pilihanraya daripada kepenatan dan menghabiskan duit saku untuk pemilihan. Inilah sahaja peluang untuk menjadi calon pilihanraya sebelum jika tewas dalam pemilihan tiada lagi peluang menjadi calon, ia mesti digesa dengan berstrategik.

Hal kedua yang ketara di pihak UMNO adalah permintaan kerusi calon terutama di negeri atau kawasan yang dikuasai oleh PAS. Pemimpin UMNO di sesetengah bahagian sudah mula meminta kerusi sekurang kurangnya satu kerusi untuk Ketua Bahagian dengan harapan tinggi boleh menjadi YB tanpa tentangan musuh tradisi. Desakan oleh UMNO ini jika terlalu keras dan mendesak akhirnya UMNO juga yang rugi. PAS tidak rugi apa apa dan jika mereka tidak bersama UMNO, mereka  masih boleh menjadi King Maker dalam penentuan kerajaan Persekutuan. 

Sebilangan orang orang UMNO yang tamak ini tidak mengambil kira sekiranya PAS membuat tuntutan serupa untuk pengagihan kerusi, lebih malang jika PAS berkeras hendak pembahagian kerusi secara 50- 50 apa yang jadi kepada cita- cita UMNO ia ibarat orang tamak selalu rugi.

Sebagaimana dalam carta di atas jumlah kerusi paling banyak dimenangi oleh PAS adalah di Kelantan, orang UMNO di sana mungkin terlupa bahawa Adun UMNO juga ramai di negeri negeri lain adakah Adun tersebut mahu berundur jika diminta oleh ketua PAS kawasan ? pemimpin UMNO di Kedah, Terengganu dan Kelantan usahlah menagih kerusi daripada PAS terutama Kelantan yang ketara sangat bahawa rakyat memilih calon PAS dan bukan UMNO sebagai pemimpin mereka, gunalah kaedah penyokong mana lebih ramai parti itulah yang diberi kerusi dan PAS pula tidak diberi laluan untuk walau satu kerusi seperti kerusi kerusi di Gua Musang dan kita percaya orang UMNO Gua Musang tidak akan mahu menyerahkan kerusi yang mereka menangi kepada PAS.

Bagaimana pula bagi negeri yang dikuasai oleh BN seperti Pahang dan Perlis serta negeri- negeri lain di Malaysia. Misalnya, sanggupkah DS Najib memberi satu kerusi percuma untuk PAS bertanding dalam kawasan Pekan atau mahukah UMNO menyerahkan kawasan yang mereka tewas tipis kepada PH untuk memberi laluan pula kepada calon PAS atas dasar semangat Muafakat Nasional, 

Jika dilihat kepada keputusan PRU14 yang lalu, kerusi parlimen di menangi UMNO sebanyak 54 dan kerusi dimenangi oleh PAS sebanyak 18 mahukah UMNO memberi 18 kerusi lagi kepada PAS untuk ditandingi dan PAS pula adakah rela berkongsi kuasa atau memberi sebahagian kerusi yang mereka menangi untuk UMNO.

Jika kedua- duanya sanggup berkorban silakan beri kerusi 50-50 serta bersedia untuk UMNO dan PAS menjadi Pembangkang semula kerana undi protes di kerusi kerusi tertentu boleh membuat UMNO dan PAS berputih mata. 

Formula terbaik dan jangan diusik oleh mana- mana pihak adalah kekalkan status quo sekarang.. kerusi dimenangi UMNO / PAS kekal milik mereka manakala di kerusi yang kalah jumlah undi lebih besar menjadi penentu siapa calon Muafakat Nasional.  

Rabu, 27 Mei 2020

DS Najib : PRK Chini langkah bersara atau jadi MB

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun N23 Chini akan diadakan pada 4 Julai 2020 bersamaan dengan tarikh kemerdekaan negara yang menjuarai wabak Covid 19 seluruh dunia, Amerika Syarikat. Sehingga hari ini bahang PRK masih belum terasa, ini kerana seluruh rakyat bukan sahaja di negara kita tetapi seluruh dunia sedang melawan pendemik Covid 19, apa apa sahaja isu atau hal hal yang lain akan dianggap perkara yang tidak penting lagi.. tumpuan adalah untuk melenyapkan virus di persekitaran masing masing. bukan sahaja Pilihanraya tidak menjadi tumpuan malahan suasana hari raya pun turut hambar.

PRK Dun Chini adalah pilihanraya yang memihak kepada Umno / BN sesiapa sahaja yang berlawan di mana mana Dun dalam Parlimen Pekan pasti akan tewas, lebih lebih lagi rekod PRU14 dengan jelas menunjukkan perbezaan yang ketara apalagi jika PAS juga tidak lagi menjadi lawan kepada Umno/ BN bermakna undi calon PAS akan masuk ke dalam undi Muafakat Nasional., BN akan menang dengan selesa, oleh itu lebih bijak dan lebih jimat jika Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calon sebagaimana Umno juga tidak meletakkan calon pada PRK N12 Dun Penanti, PRK N06 Dun Cempaka dan PRK P132 Parlimen Port Dickson, alasannya membazir, entah sejak bila parti politik mula rasa membazir dalam pilihan raya, tetapi yang sebenarnya adalah kerana keputusan pengundian sudah dijangka.


PRK Dun Chini boleh menjadi titik perubahan sejarah negara dan negeri Pahang yang penting sekiranya ia hendak dilakukan oleh Ketua Umno Bahagian Pekan iaitu mantan Perdana Menteri (PM) Dato Seri Najib Tun Abdul Razak, beliaulah yang menentukan siapa yang perlu diletakkan calon untuk kawasannya. Walaupun jangkaan saya DS Najib akan meletakkan calon di kalangan pemimpin biasa di bahagian Pekan atau individu popular di Dun Chini tetapi mungkin ramai yang berharap DS Najib akan meletakkan calon yang menjadi asas kepada perubahan dalam politik negara iaitu mencalonkan dirinya sendiri atau ketua pemuda Umno Pekan iaitu anak lelakinya Datuk Mohd Nizar Najib.

Bila cadangan mencalonkan DS Najib di Dun Chini dilontarkan dalam media sosial kita dapati ramai yang membantah dengan anggapan DS Najib lebih sesuai menerajui negara dengan harapan beliau akan kembali menjadi PM, tetapi harus diingat bahawa DS Najib sudah menegaskan bahawa dia tidak berhasrat untuk kembali menjadi PM seperti yang dimahukan oleh penyokongnya, dan kita juga menjangkakan DS Najib tidak akan diberi peluang sekali lagi untuk menjadi PM oleh rakan rakan parti, DS Najib sudah diberi peluang itu dan hasilnya Umno kehilangan kuasa di pusat tiada lagi peluang kedua. DS Najib perlu mencari pendekatan dan kedudukan lain jika ingin terus menyumbang kepada parti dan negara, hanya ada satu peluang baik yang akan menyebelahi rakyat Pahang adalah memberi peluang kedua untuk DS Najib menjadi Menteri Besar (MB) Pahang sebagaimana saya lontarkan dalam Dato Sri Najib Razak Menteri Besar Pahang dan tulisan itu mengejutkan ketua Armada BERSATU Syed Saddiq Syed Abdul Rahman  yang waktu itu menjadi Menteri Belia Dan Sukan serta turut memberi ulasan kepada tulisan blog, saya minta agar dibaca semula tulisan di blog itu untuk lebih memahami mengapa Bossku perlu menjadi MB Pahang.

Solusi kedua calon PRK Dun Chini adalah legasi Tun Razak iaitu cucunya Datuk Mohd Nizar Najib, ini adalah penting, bukan sahaja sebagai pengimbang kepada keluarga DS Anwar dan Tun Mahathir yang galak mencari kedudukan dalam pemerintahan tetapi ia lebih kepada meneruskan gaya kepimpinan bangsawan yang menceburi politik untuk rakyat, meletakkan calon ini juga boleh diandaikan sebagai persediaan pelapis muda dalam pentadbiran negeri Pahang yang mungkin kemudian hari memerlukan anak Najib Razak untuk menjadi Menteri Besar atau ia sebagai persediaan bagi dicalonkan sebagai ahli Parlimen Pekan pada PRU akan datang yang sekaligus wakil rakyat tidak lagi berhadapan dengan DS Najib di parlimen, DS Najib boleh berehat dan tidak menurut jejak Tun Mahathir yang terus bercakap dan membinggitkan negara biarpun sudah lama melepasi usia bersara penjawat awam.

Jika ingin terus menghangatkan suhu politik di PRK Chini, PH boleh sahaja mencalonkan mana mana pemimpin utama dalam Pakatan Harapan yang menjadi rakyat Pahang atau jika Tun Mahathir terlalu berdendam dengan DS Najib serta ingin terus meratib DS Najib sebagai penyamun dan perompak rasanya Tun boleh sahaja mencalonkan artis kesayangannya Dato Siti Nurhaliza yang juga rakyat Pahang dan sudah dimaklumi artis ini tidak menyukai Bossku apatah lagi pengikut Bossku serta likers FB dan Youtube oleh Bossku ternyata mengatasi penyanyi yang mula tidak disukai ini. Tun Mahathir yang kaya raya boleh sahaja membayar setiap kerugian yang mungkin dialami jika Dato Siti ditolak dalam PRK Chini. 

Apa pun cara dan calon yang akan bertanding dalam PRK Chini, perlu diingat bahawa PRK ini tentu sekali berbeza dengan pilihanraya yang lalu, akan tiada lagi ceramah terbuka, perkumpulan jentera, kerahan anggota parti dari luar untuk membantu kempen juga tidak berlaku. Medsos lah yang akan menjadi medium utama di zaman Covid 19 ini. SELAMAT BERKEMPEN.




Selasa, 7 Januari 2020

PRK Kimanis medan perang, Musa Aman - Shafie Apdal

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis seolahnya diusahakan oleh pihak kerajaan yang sejak menang pilihanraya umum ke 14 mereka sebolehnya akan membatalkan kemenangan setiap kawasan pilihanraya yang dimenangi majoriti tipis oleh BN termasuklah di P178 Kimanis. Disebabkan usaha dan tekanan oleh kerajaan yang dikuasai oleh PH mudah untuk kita membuat telahan bahawa Anifah Aman mengistihar menjadi ahli parlimen bebas dengan harapan beliau akan terselamat daripada dibatalkan kemenangan oleh mahkamah tetapi langkahnya silap pilihanraya tetap diadakan, lebih malang Anifah Aman bukanlah calon pilihan pihak PH. Jalan terbaik adalah membuat pilihan menyokong calon BN tambahan pula parti Warisan mencalonkan bekas lawan beliau iaitu Karim Bujang yang juga pihak yang mengheret kemenanganya di mahkamah.


Rakyat Sabah masih tidak dapat melupakan episod yang berlaku selepas pilihanraya umum 14 yang lalu yang mana BN dan PH-Warisan mendapat kerusi sama banyak iaitu masing masing 29 kerusi tetapi akhirnya 2 kerusi dari STAR telah memberi sokongan kepada BN menyebabkan Musa Aman yang juga abang kepada Anifah Aman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang ke 14. rentetan daripada kejayaan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri atas sokongan STAR amaran keras daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir terhadap 2 Adun STAR dengan ancaman siasatan oleh SPRM. Selang sehari selepas itu iaitu pada 12 Mei 2018 jam 9.30 malam Syafie Apdal telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri baru dengan mendakwa memperolehi sokongan 35 Adun termasuk 6 Adun BN, kali ini tiada ancaman daripada Perdana Menteri atau SPRM kepada 6 Adun BN yang menyokong Shafei Apdal. 

PRK Kimanis walaupun ia adalah peperangan antara BN dan Warisan yang diwakili oleh Alamin.. dan Karim, tetapi ia juga peperangan moral dan pengaruh antara Musa Aman dan Shafie Apdal. Sebagai presiden parti Warisan Shafie Apdal tentunya tidak mahu kalah di negeri yang sudah dikuasainya manakala Musa Aman pula ingin mengubat kedukaan yang ditimpa oleh Shafie Apdal dan rakan rakan Adun yang mengkhianatinya termasuk menantunya sendiri iaitu Adun Membakut yang juga dalam parlimen Kimanis. 

Negeri Sabah telah lebih 8 kali merakamkan pertukaran parti atau gabungan parti memerintah daripada UNKO kini dikenali UPKO (1963-64), SCA (1965- 67), USNO (1967 -76), BERJAYA (1976- 85), PBS (1985- 94), BN (1994- 2018) dan terkini Warisan-PH (2018 - ) parti parti yang memerintah itu juga ramai dipimpin oleh orang yang sama memimpin parti lain, gelaran ini popular dengan panggil 'katak'. Pilihan rakyat bukan lagi penentu kerajaan selepas tutupnya pusat mengundi, kuasa penentu berpindah kepada wakil parti yang menang. Inilah yang pernah menumbangkan kerajaan Sabah sebagaimana dialami oleh PBS pada 1994 juga kepada BN 2018.

Rakyat Sabah sentiasa dibelenggu oleh semangat kenegerian yang secara berterusan dimainkan oleh pemimpin anak negeri setiap kali akan berlakunya pilihanraya. Menyedari bahawa rakyat Sabah percaya bahawa negeri mereka amat kaya dengan hasil bumi, apa saja seruan untuk kebebasan dan bentuk autonomi tertentu akan disambut baik oleh rakyat. Dari semangat inilah parti politik pihak kerajaan dari Semenanjung tidak dialu alukan bertapak di Sabah. Sehinggalah kemasukan UMNO menggantikan USNO pada 1994 yang menamatkan dominasi parti PBS yang dikatakan mengkhianati gabungan Barisan Nasional, dan menjadikan Sabah sebuah negeri sebagaimana Tanah Melayu yang majoriti kuasa politik dikuasai oleh UMNO.

PRK Kimanis membuka lagi semangat kenegerian rakyat Sabah. Kali ini Shafie Apdal memomokkan bahawa UMNO yang bertanding akan menodoi lagi negeri Sabah sebagaimana yang dipercayai. Atas sebab itu dinyatakan di sini bahawa parti Warisan khasnya Shafie Apdal sudah mula memainkan sentimen palsu. Rakyat Sabah khasnya pengundi Kimanis tidak mudah diperdaya kerana :-

1 .Parti Warisan adalah sebahagian daripada Pakatan Harapan, Kerusi ahli Parlimen Warisan termasuk kerusi Parlimen Semporna sendiri berada di blok Kerajaan bukannya berkecuali. Begitu juga kerusi kerajaan di DUN Sabah, parti berasal dari Semenanjung iaitu DAP berada di blok kerajaan negeri.

2. Pada PRK sandakan yang lalu parti Warisan turut menyokong dan berkempen untuk DAP iaitu parti berpengkalan di Semenanjung. kenapa parti Warisan tidak memberi laluan kepada PBS yang tentunya ia adalah parti peribumi Sabah.

3. Shafie Apdal sendiri pernah menjadi Menteri dan Naib Presiden UMNO sehingga dia digantung, atas tindakan oleh UMNO itu barulah Shafie Apdal menubuhkan parti Warisan untuk kelangsungan politiknya.

4. Di zaman Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri telah berlaku apa yang digelar Projek IC yang mana ia telah memberi kerakyatan Sabah kepada pendatang. Di mana menteri dari Sabah dan juga pemimpin pemimpin Sabah yang hari ini masih ada dan ramai pula yang mengambil langkah kembali menyokong Mahathir.

5. Pas Sementara Sabah (PSS) yang dicadangkan berkuatkuasa pada 1 Jun 2020 turut di sokong oleh Shafie Apdal. PSS ini adalah suatu pas untuk menyelaraskan IMM13 yang dikeluarkan oleh Jabatan Immigresen kepada pelarian perang, Kad Burong- Burong yang diberi kepada pendatang pada era pentadbiran BERJAYA dan Sijil Banci yang diberi oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan. PSS ini dikenakan bayaran RM120 seorang dan sasaran sudah dikenal pasti adalah kepada 600,000 pendatang di Sabah. Berapa banyak pendapatan yang kerajaan dapat melalui penjualan pas menyerupai ic itu. Dan satu persoalan kenapa begitu ramai yang layak. Adakah negara pelarian perang masih berperang tidak boleh dihantar pulang ? Adakah Kad Burong Burong itu boleh diwarisi atau membiak kepada generasi baru sedangkan zaman BERJAYA tahun 1976- 1985 mungkinkah pemilik kad tiada yang meninggal dunia ? Apa pula keistimewaan yang dimiliki pendatang sehingga adanya Pasukan Petugas Khas yang kerjanya mengeluarkan sijil ?

Kepada rakyat Sabah, Shafie Apdal juga mempunyai isu- isu yang tak kurang sensasi iaitu :-

1. Kes yang melibatkan kehilangan kewangan sebanyak RM1.5 billion sewaktu beliau menjadi Menteri KKLW tahun 2009 - 2015. Walaupun telah dibawa ke mahkamah tetapi kesnya digugurkan oleh peguam negara setelah kerajaan BN tewas dalam PRU14.

2, Penguasaan keluarga Jamalul Kiram dan Shafie Apdal dalam Yayasan Sabah sekaligus menjadi keluhan rakyat dalam kerja kerja pembalakan yang dibolot oleh keluarga mereka juga kes Kolej Universiti Yayasan Sabah yang tidak membayar gaji pekerja selama 3 bulan dan pemberhentian pekerja.

3. Gaya mewah salah seorang isteri Shafie Apdal iaitu artis Zahida Rafik yang dikatakan dibiayai RM500,000 sebulan. Rumah bernilai RM4.5 juta di Taman Bukit Indah, Ampang serta sebuah lagi rumah di London berharga lebih RM10 juta. YB Zuraida juga pernah mendedahkan individu menteri yang dimaksudkan ini...


Semoga pandangan dan perkongsian ini dapat memberi pertimbangan kepada rakyat dan pengundi Kimanis agar tidak lagi tertipu sebagaimana seluruh rakyat Malaysia telah ditipu, dikencing dan di tabur fitnah pada pilihanraya yang lalu,