clixsense

Rabu, 16 Mei 2018

KJ nak jual Perjuangan Bangsa.. ?

Antara kata- kata ketua Pemuda UMNO yang dikira ingin menutup kelemahan bersama adalah ; 
"Kita perlu mempertimbangkan semua pilihan, apa model yang kita mahu, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau Pertubuhan Kebangsaan Malaysia Bersatu, apakah DNA kita, apakah raison d'etre kita? "Soalan-soalan ini perlu ditanya, kita tidak sepatutnya tetap dengan model yang kita pilih. Semuanya ada di atas meja," kata Khairy dalam temu bual dengan Channel News Asia Khairy mengakui Umno dan BN 'berkhayal dan terlalu mabuk' sehingga parti dan gabungan itu mengalami kekalahan teruk selepas enam dekad kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).
Saya sebagai ahli UMNO sangat tidak bersetuju dengan apa yang dicadangkan oleh Brigadier Jeneral Khairi Jamaluddin (KJ) Atas beberapa sebab

1. Tidak ada gunanya UMNO sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Bumiputera berhasrat untuk membuka keahlian kepada semua kaum. Sedarkah Khairi bahawa Barisan Nasional adalah platfom yang ada dan dipersetujui sebagai parti yang bergabung untuk bertanding dalam pilihanraya dengan parti -parti komponen pelbagai kaum di dalamnya, UMNO tidak pernah pun bertanding menggunakan lambang UMNO tetapi Barisan Nasional dan semestinya KJ itu sendiri adalah Ketua Pemuda BN yang bertanding atas tiket BN.

2. Apa nak dipersoalkan tentang DNA, UMNO ini adalah parti Melayu Islam, jika seseorang yang menjadi Islam, bertutur dalam bahasa Melayu serta mengamalkan budaya Melayu, dalam Perlembagaan Negara secara otomatik dia adalah Melayu dan tidak ada halangan untuk menjadi ahli UMNO sebagaimana bangsa Siam, Murut, Kadazan, Negrito, Semai dan pelbagai etnik lain untuk menjadi ahli dan menubuhkan cawangan UMNO, ini barangkali tidak ada dalam kebanyakan parti lain.

3. Khairil Jamaluddin tidak mengambil iktibar bagaimana penolakan orang Melayu sewaktu Onn Jaafar yang juga pengasas UMNO ingin membuka parti UMNO kepada kaum lain, ia gagal dan Datuk Onn membuka parti baru yang tidak berjaya dan Parti Negara hanya tinggal sejarah.

4. Bagi orang Melayu yang sudah tidak ada pergantungan daripada Ketuanan Melayu, kukuh kedudukan serta Ekonomi sebagaimana KJ akan lebih mudah dan tidak menjadi masalah untuk asimilasi bersama bangsa lain, mereka tidak perlu memikirkan untuk bangsa, tidak perlu merasa keterasingan menjadi bangsa yang masih dan terus bergantung susah senang sesama bangsa dan saya juga beranggapan KJ juga boleh untuk menjadi bangsa lain yang bukan Melayu kerana kedudukan dan status sosialnya jadi KJ lebih terbuka untuk semua bangsa tanpa kerisauan untuk terpinggir. 

5. "UMNO dan BN berkhayal dan terlalu mabuk", itu bukan ayat yang tepat dan sebetulnya adalah pemimpin UMNO / BN itu sendiri yang mabuk dan khayal termasuk YB KJ sendiri. Selepas dilantik menteri Belia Dan Sukan KJ sudah hilang arah perjuangan Pemuda UMNO, KJ hanya menumpukan kepada Kementerian Belia yang juga mempunyai rekod kehilangan sejumlah Wang di Kementeriannya. KJ sebenarnya berjaya mempopularkan diri dengan gaya dan penampilan sahaja tetapi gagal menarik minat pemuda untuk bersama UMNO apalagi memilih BN sebagai pilihan. Buktinya semua saluran orang muda tidak menyebelahi UMNO / BN adakah ini bukan kegagalan KJ  bersama Naibnya yang setia Wan Bro ?

Saya tidak mahu membongkar gaya hidup pemimpin pemuda di Bahagian serta hebat dan sensasinya kempen pemilihan pemuda hingga menggadai pegangan ahli parti, yang ini semua orang sudah tahu dan sudah memberi jawapan dalam kotak undi bukan sahaja PRU 14 tetapi setiap kali pilihanraya bermula 2008. 

Isnin, 14 Mei 2018

Setialah

Perkataan yang ditaip ini adalah dibuat pada 22 April 2018 iaitu sehari sebelum mengumuman calon pilihanraya umum negeri Kelantan. Apa yang hendak saya taipkan disini bukanlah saya hendak mendahului takdir atau dengan niat yang tidak baik. Biarlah ini menjadi bukti kegusaran saya dan rakan- rakan yang selama ini ingin melihat UMNO diterajui oleh orang orang yang benar ikhlas dan ingin melihat kemenangan Barisan Nasional di Bachok.
Saya dapat memperkatakan tentang Bachok kerana saya mempunyai sedikit pengetahuan di situ.. Berkali- kali saya katakan bahawa 3 Dun dan parlimen akan kalah (4-0) berdasarkan pemerhatian semasa. Dan saya telah menjadi orang yang paling tidak disukai apabila sekali lagi membantah perpindahan calon popular ke Dun yang dia tiada pendedahan sebelumnya ini dilakukan untuk memberi laluan kepada calon lain yang sentiasa sensasi bagi warga politik di Bachok. kerana kelancangan dan keterbukaan saya itu menyebabkan saya akhirnya diberi pilihan untuk diam atau menyokong tidakan. Saya memilih diam hinggalah hari saya menaip ini.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Saya sambung tulisan ini pula pada 11 Mei 2018 Selepas PRU14 berlalu, seluruh dunia juga telah mengetahui bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menjadi Perdana Menteri Malaysia. Dalam kalangan wakil rakyat pula setiap hari ada saja helah dan lompat parti berlaku sebahagian besarnya mendakwa untuk selari dengan kerajaan persekutuan tetapi saya yakin jika disuruh bersumpah laknat bersaksi kitab suci masing masing agaknya tiada YB yang sanggup.

Saya membesar di zaman Tun M sudah tentunya banyak yang telah saya saksikan dizaman pentadbirannya yang bermula pada tahun 1981 - 2003. Seingat saya beliau seperti mana yang ditulis dalam buku 'A Doctor In The House' banyak kejutan, provokasi dan keputusan yang pada awalnya dilihat salah tapi akhirnya kita terpaksa menelan dan mengakui kebaikannya. Dalam hal berkaitan dengan Tun M ini saya telah pun menyatakan pandangan pada 24 September 2016 iaitu http://manekuraikini.blogspot.my/2016/09/tun-m-sudah-bagi-signal.html
Saya juga cukup percaya individu yang melompat parti dan tidak setia kepada parti sebenarnya tidak disukai oleh Tun M sendiri apalagi jika budaya ini berlaku setelah parti yang ingin dimasuki sudah mencapai kejayaan, untuk apa melebihkan orang yang tidak berpendirian daripada rakan asal yang lama bersusah payah dalam usaha untuk memenangi pilihanraya. 

Walaupun tahu akan sesuatu yang mungkin lebih menguntungkan jika meninggalkan parti UMNO tetapi saya teguh dengan pendirian selagi UMNO dibenarkan beroperasi selagi itulah saya tidak akan menukar arah tuju, saya bukannya ada lesen kontraktor, bukan ada tender pembekalan dengan mana mana jabatan kerajaan dan saya juga tidak perlu berbelanja besar untuk gaya hidup, jadi apa gunanya saya memulakan langkah pertama dalam parti selain UMNO, pertubuhan yang ayah dan ibu saya pernah bernaung.