Hari ini 30 November Umno Kelantan mengadakan konvensyen di Sweet Beach Resort, Pasir Puteh, ia menjadi konvensyen terakhir sebelum perhimpunan agong yang akan bermula 4 Disember 2019. empat hari sebelum resolusi diangkat ke Perhimpunan Agong Umno atau PAU.
Seperti juga parti parti lain, pengerusi konvensyen inginkan yang terbaik apalagi sudah dimaklumkan bahawa presiden Umno yang akan merasmikan konvensyen. Persiapan tempat mungkin tidak menjadi satu halangan yang besar tetapi menentukan kehadiran dan penetapan peserta akan menjadi suatu hal yang perlu ditangani dengan cermat. Jemputan juga jika tidak mampu difahami akan menimbulkan persoalan.
Antara jemputan yang diwajibkan terdiri daripada AJK 4 peringkat setiap bahagian, untuk kiraan mudah seramai 120 orang setiap bahagian dicampur Biro Veteran Umno dan NGO mungkin 20 - 30 orang, jumlah anggaran keseluruhan jemputan adalah 1700 orang. Namun pengacara majlis umumkan jumlah kehadiran yang didaftarkan adalah seramai 1575 orang, satu jumlah yang agak besar berpadanan dengan saranan agar peserta sebolehnya berkongsi kereta bagi mengelakkan ketiadaan tempat parking kerana pihak resort memaklumkan parking maksima muat untuk 600 kereta sahaja.
Sebagaimana pengurusan bahagian sedia maklumi bahawa ramai juga peserta yang mewakilkan kepada orang lain, hadir daftar semata untuk dapatkan t-shirt dan free gift, hadir dan bersarapan kemudian pulang, hadir berswafoto dan belum lagi perasmian sudah angkat punggung, hadir hanya untuk majlis perasmian sahaja. Inilah yang berlaku bila tiba sesi petang.. hanya sepertiga yang kekal di dalam dewan. Jika perkara ini berlaku atas jemputan kepada ahli biasa atau peringkat cawangan mungkin ia boleh diterima tetapi amat kesal bila penjawat jawatan yang dipilih oleh ahli ahli akar umbi tidak mampu bertahan untuk sehari berpadanan dengan undi yang diminta daripada perwakilan sewaktu pemilihan parti. Jemputan konvensyen ini khusus dan sangat perlu dihadiri sendiri oleh penama, seperti dalam senarai jemputan.
Perasmian Konvensyen Umno Kelantan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini turut dihadiri Ketua Puteri Umno Malaysia, Setiausaha Wanita Umno Malaysia juga turut hadir wakil MCA, MIC Ahli Parlimen PAS Rantau Panjang dan Ahli Parlimen Pas Pengkalan Chepa.
Satu pujian kepada penganjur apabila tayangan video yang disudahi dengan lagu warisan membuatkan semua hadirin secara spontan berdiri serta ramai juga yang terkesan dan sebak hingga menitis air mata.
Dalam ucapan perasmian oleh presiden Umno antara intipati ucapannya adalah:-
- Umno mesti menebus fitnah dengan kemenangan dalam pilihanraya.
- Suara dan bicara rakyat tidak boleh dizalimi, jika ada PRK rakyat akan menghukum.
- Pas dan Umno mempunyai rasa keterbukaan
- Umno dan Pas meminggirkan kaum lain ditepis dengan mencalonkan MCA dalam prk Tanjung Piai
- Bangsa Melayu sukar dihancurkan dari luar tetapi sangat mudah untuk dihancur dari dalam.
- 4 negeri telah dikuasai, sementara Perak, Negeri Sebilan dan Melaka akan kembali dikuasai.
- Pas dan Umno harus kekal menguasai Kelantan
- Doa orang yang dizalimi tiada hijab
- Ada kifarah dan kesilapan lalu menyebabkan BN tersungkur, baiki kesilapan yang lepas.
- kekalahan telah membuatkan umno mengenali siapa kawan, siapa lawan dan siapa jahat.
- Jangan lupa teman di Sarawak dan Sabah, berbilang kaum menjadi kelebihan antara satu sama lain.
- Pastikan ada tawaran baru atau new deal untuk rakyat kelantan jika menguasai Putrajaya.
- Pas jurubicara tentang Islam, Umno juru bicara hal pembangunan
- Umno pengalaman sebagai kerajaan, Pas pengalaman sebagai pembangkang memberi kelebihan.
- Mahkamah Pulau Pinang dan kabinet zaman BN menolak abu mayat Chin Peng dibawa pulang.
- Chin Peng ketua pengganas,hairan KDN dan PDRM tidak tahu kepulangan abu mayatnya,
- Syarikat berkepentingan Melayu Islam dijual untuk bayar hutang tetapi hutang negara bertambah
- Untuk menaikkan harga komoditi mestilah dimasukkan elemen baru
- Jangan tanya siapa jadi PM tetapi menangkan parti dahulu, sudah menang barulah dibincangkan.
Antara Isu dan hal hal yang dicadangkan oleh peserta adalah:-
Gua Musang - Pembentang YB Amran :
-Nasihat Tengku Razaleigh "bo bo lah dok dengar dia oyak" (Jangan dengar lagi apa Mahathir cakap)
-Jangan ada rundingan pintu belakang kemenangan mesti melalui pilihanraya.
Kota Bharu - Pembentang Akram Hamsyi
- pentadbiran beragama jika memerintah dan juga menyelesaikan masalah perumahan.
Bachok - Pembentang Lawyer Azwan
-Pengasingan kuasa Mahkamah dan Peguam Negara sebagaimana dituntut oleh PH tidak dilaksanakan bila berkuasa, banyak campurtangan oleh peguam negara dan pembatalan kes jika melibatkan pihak Pakatan Harapan
Pengkalan Chepa - Pembentang Faris Amran
-Ketidakcekapan Mat Sabu antaranya dalam hubungan dengan Arab Saudi
Tanah Merah - Pembentang YB Bakri
- Hanya 118 orang yang mengikut jejak Tok Pa di Jeli
- Jangan tubuh kerajaan melalui pintu belakang,
- lompat dan tukar parti adalah tidak bermaruah termasuk yang terlibat dengan perjumpaan di rumah Azmin
- Rakyat nak cari makan pun susah pemimpin senang senang cari peluang.
Wakil NGO - Dato Aimi
Kes NAFAS, campurtangan dan tektik kotor kerajaan PH menjahanamkan Pertubuhan Peladang.
Perlu diberi perhatian apabila dua pembentang yang masing- masing wakil rakyat satunya YB Amran dari Dun Paloh yang menolak usaha membentuk kerajaan tanpa melalui mandat rakyat atau digelar Kerajaan pintu belakang pendirian ini dikongsi bersama YB Bakri dari Dun Gual Ipoh, Adun ini pernah dikatakan akan melompat pari. saya dan rakan - rakan grup pernah menghentam dan balun tindakan yang dikatakan akan dilakukan olehnya sehari sebelum ketibaan Mukhriz di Machang. tetapi rupa- rupanya tidak lama selepas itu Ahli Parlimen Jeli dan Tanah Merah yang melompat parti.
Terdapat juga suara- suara yang tidak puas hati dengan jemputan oleh pihak pengurusan konvensyen. Antaranya adalah Mubarak, penggiat sosial dan ahli bawahan. Kepada Mubarak mungkin pihak penganjur beranggapan mereka telah termasuk di dalam Biro Veteran Umno, tetapi penganjur terlepas pandang bahawa bukan semua Mubarak itu adalah veteran. Untuk penggiat media sosial pula kelihatanya sukar untuk tentukan siapakah penggiat media sosial yang perlu dijemput khusus kerana ada ratusan penggiat media sosial yang aktif membantu parti di alam maya. Mungkin golongan ini diandaikan oleh penganjur sudah dijemput melalui NGO. Ketua- ketua cawangan, pemuda, wanita dan puteri cawangan yang penuh bersemangat agaknya kalau tak merajuk tentulah kecewa merasakan mereka yang juga bertukus lumus di peringkat bawah telah diabaikan.
Jemputan ini dibuat secara dalaman dan sentuhan peribadi oleh ketua dan pengurusan bahagian, jika diumumkan sudah tentu ramai yang ingin mengikuti tetapi berapa ramai pula yang boleh berdisiplin untuk kekal berkonvensyen dari jam 8 pagi hingga hampir 6 petang. Bagaimana pula pengangkutan dan penginapan bagi yang jauh tambahan pula jika ahli bawahan di panggil agak janggal jika Bahagian 4 peringkat tidak dijemput. Bukankah peserta akan mencecah ribuan orang. Tempat lebih besar, belanja lebih besar mesti di cari.
Mungkin ditahun tahun akan datang konvensyen untuk negeri perlu di war warkan kepada seluruh cawangan dan ahli Umno, sebagaimana PAU yang menjemput seluruh rakyat tetapi hanya jemputan khas boleh memasuki bilik konvensyen dengan menunjukkan pas peserta sementara yang lain boleh berada diluar mengikuti majlis perasmian di skrin besar sambil melawat pameran atau gerai jualan.