clixsense

Khamis, 3 Februari 2022

Menang Pilihanraya : Orang UMNO mesti jadi PAS di Kelantan

Di negeri Kelantan cara berfikir dan bertindak sebagai orang UMNO seperti di negeri - negeri lain sudah ketinggalan zaman. Cara berfikir sebelum tahun 1990 sudah tidak boleh digunapakai di negeri serambi Mekah lebih lebih lagi generasi pengundi tahun 90an sudah ramai yang meninggal dunia. Kini pemilih di Kelantan adalah pengundi baru, orang muda yang lahir dan hidup di zaman PAS. Mereka meletakkan diri mereka di tahap yang sudah meninggalkan zaman lampau pentadbiran UMNO Kelantan.

Politik orang Kelantan yang unik seakan sudah tertanam bahawa mereka sudah melalui zaman revolusi iaitu menggulingkan pimpinan UMNO dan menaikkan golongan agama sebagai pemimpin negeri ala- ala revolusi Iran. Orang Kelantan tidak boleh ditunjuk atau diajar cara yang betul untuk memilih pemimpin. Mereka sudah merasai perubahan pentadbiran berdekad daripada apa yang dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia ketika BN tewas di Putrajaya.

PH tersungkur dengan cepat di pusat apabila mereka menganggu kedudukan orang Melayu dan kepentingan agama Islam serta kedudukan kesultanan Melayu tetapi di Kelantan PAS tidak memberi ancaman kepada perkara tersebut, rakyat Kelantan tidak terancam dengan kedudukan dan perut rakyat tidak lapar. Sebaliknya UMNO membuat serangan dan ancaman kepada orang Kelantan sewaktu PAS mentadbir negeri, kerajaan pusat menyekat pembangunan ke Kelantan, pemimpin UMNO mempersenda slogan dan kempen keIslaman di Kelantan, orang UMNO juga menabalkan Sultan yang lain di Kelantan. Ketika rakyat Kelantan terlena dengan hudud, Perdana Menteri melebel sebagai ketinggalan zaman, sewaktu rakyat Kelantan kehausan inginkan royalti kerajaan pusat tidak memberi harapan. Ini semua memanjangkan hayat PAS di Kelantan.

Apabila Paklah menjadi Perdana Menteri PAS hampir tersungkur kerana Pak Lah menggantikan Tun Mahathir yang rata rata orang Kelantan memanggil beliau sebagai firaun yang menindas orang Kelantan, Latar belakang keluarga ulamak Pak Lah boleh menyaingi gelaran Tok Guru Nik Aziz. Selepas percubaan pertama di zaman Pak Lah, PAS kembali memainkan sentimen agama lebih agresif ditambah dengan pembawaan menantu Pak Lah yang tidak digemari oleh orang Kelantan, PAS kembali memenangi kehendak orang Kelantan.

Walaupun Dato Seri Najib tidak meminggirkan rakyat Kelantan tetapi faktor ekonomi bukan perkara utama dalam menentukan pemimpin di Kelantan, orang Kelantan rata- ratanya lebih ke depan daripada rakyat negeri lain dalam perniagaan malahan di mana- mana orang Kelantan adalah bos dan tauke. Momokan orang Kelantan daif tidak menjadi jika dilihat dengan pemilikan rumah besar dan aset rakyat Kelantan ini diakui sendiri oleh rakyat negeri lain yang melawat Kelantan. Orang Kelantan sukakan Najib tetapi mereka lebih selesa dengan penampilan dan gaya percakapan pemimpin PAS.

Sebenarnya sudah banyak kali UMNO Kelantan ingin menjadi lebih PAS daripada PAS tetapi tidak berjaya. Tok Pa pernah cuba menjadi lebih PAS dalam lakonan cakna kepada rakyat seperti menggunakan kereta buruk, melawat orang sakit dan kematian, hadir tempat kenduri dilakukan bukan sahaja di Jeli malahan ke seluruh negeri hingga tempat tidurnya adalah dalam teksi.  Tok Pa seolah berseorangan hanya berkesan di Jeli, tidak mampu melawan lakonan hampir semua wakil rakyat PAS di Kelantan. Akhirnya Tok Pa sendiri lari ke parti lain. 

Ramai orang UMNO mengakui bahawa pengikut dan penyokong mereka ada yang tidak boleh dibawa berperang jika tiada ganjaran, penjawat awam ingin dijanjikan kedudukan dan pangkat, pemimpin tempatan berhajat dengan jawatan peringkat kampung seperti penghulu atau ketua cawangan sebagai habuan, buktinya bila UMNO tewas penjawat awam masuk gua isi borang parti lain, penghulu main kayu tiga berbaik dengan parti lain dan ketua cawangan dah jadi pengecut tak mahu peganng jawatan. Ini berbeza dengan rata rata orang PAS yang rela hilang jawatan, sanggup tidak dapat kedudukan asalkan boleh bersama PAS. Orang UMNO masih perlu berusaha menjadi lebih PAS sekiranya nak tewaskan PAS.

Memetik pendedahan oleh Ketua UMNO Bahagian Bachok Datuk Hj Mohd Zain Yasim, dalam majlis pengistiharan jentera DUN. Beliau memberi amaran kepada penjawat jentera pilihanraya. Kata duanya sangat jelas "Jangan sanggup terima jawatan jika kemudian harinya akan menyusahkan parti dan terpaksa membuang masa melayan karenah orang sendiri bila tiba pilihanraya" Beliau berkata demikian berdasarkan pengalaman 2 kali bertanding dan tewas di lubuk PAS. Beliau menambah ramai penipu dan saudagar berniaga manusia bila musim pilihanraya ada juga yang tak pernah kenal akan muncul.

Suatu yang barangkali berlaku tetapi tidak dihebohkan adalah Jentera dan lantikan pilihanraya yang bertahun dan berbulan bulan bekerja untuk pilihanraya akhirnya disisihkan bila menjelang kempen pilihanraya. Kebiasaan ini lebih ketara jika calon pilihanraya adalah individu bukan penyelaras Parlimen atau Dun. selain faktor bodoh, faktor sombong, faktor team lain faktor paling besar adalah ingin menyorok belanjawan Pilihanraya. Duit parti nak buat macam duit bapak dia punya, kemut tak mahu belanja mengikut arahan. Ini berbeza dengan cara PAS yang dikatakan berhabisan menabur wang pada pengundi musim pilihanraya, PAS jadi kaya dan pemurah hanya musim pilihanraya manakala BN jadi miskin dan kedekut pada hari mengundi.

Itulah antara sebab UMNO masih tertangguh kemenangannya di Kelantan tidak termasuk kegagalan menawan masjid dan surau yang menjadi kunci kepada pegangan penyokong PAS yang berbunyi "biar kita jahil asal pemimpin kita warak" .