clixsense

Khamis, 23 Ogos 2018

ECRL batal : Keputusan tepat Tun M

Berita malang yang diterima ketika umat Islam berpuasa pada hari wukuf  9 Zulhijah bersamaan 20 Ogos 2018 untuk rakyat Malaysia terutamanya rakyat Melayu / Bumiputera di Pahang, Kelantan dan Terengganu, Pembatalan projek Laluan Keretapi Pantai Timur atau ECRL yang telah dibina hampir 20% dan dijangka akan siap pada 2024 tinggal angan- angan.


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir telah membuat perkiraan politik yang tepat apabila dengan berani dan bersahaja membatalkan projek ini, dalam pandangan politik beliau tidak rugi apa- apa dari segi sokongan, tiga negeri majoriti orang Melayu ini bukanlah negeri yang menyokong Pakatan Harapan (PH) terutama Kelantan dan Terengganu yang tidak ada satu pun kerusi Dun atau Parlimen yang dimenangi oleh PH dan Pahang pula negeri dikuasai oleh BN, maka buatlah rusuhan dan marah macam mana sekalipun oleh rakyat tiga negeri ini ia tidak langsung menjejaskan kuasa kerajaan pusat PH. Jika diteruskan projek ECRL ini kerajaan pusat PH hanya dilihat kurang cerdik bukan sahaja membazirkan perbelanjaan tetapi memberi kelebihan kepada imej kerajaan lalu dan akan dilihat memperakui jasa BN. lebih baik jika belanjawan tersebut diberi kepada kawasan - kawasan yang dimenangi oleh PH. Kelantan juga Terengganu telah merasai episod penderaan yang lama kerana tidak memihak kepada Persekutuan.

Dari segi ekonomi pula ECRL didakwa tidak memberi pulangan yang setimpal kepada negara, Jika ini diambil kira bolehlah kita perkirakan juga landasan Keretapi Tanah Melayu atau KTM yang menghubungkan Kota Bharu- Gemas- Kuala Lumpur juga tidak memberi manfaat kepada ekonomi dan perlu dihentikan, Keretapi yang dibina pada zaman British tersebut bolehlah diibaratkan tidak memberi kebaikan kepada ekonomi Tanah Melayu waktu itu, dan British membuat satu projek yang bodoh serta sia- sia, terlebih bodoh lagi KTM itu turut memberi peluang kepada rakyat di pedalaman sebagai pengangkutan awam. Pemikiran bagaimanakah Tun Dr Mahathir ini, tidak adakah di sudut benak fikirannya suatu projek untuk kemudahan rakyat, kemudahan yang kadangkala tidak terlalu melihat kepada keuntungan negara semata tetapi lihatlah kepada keperluan rakyat, pemimpin yang bertanggungjawab dan menjiwai kesusuhan rakyat akan rela berhabisan sumber negara, membuat pinjaman yang besar dari luar semata- mata untuk menyenang kehidupan dan membanggakan rakyat luar bandar, bukan seperti Perdana Menteri ke 4 yang setiap projeknya memikirkan keuntungan kepada negara dan kroni negara seperti lebuhraya yang hendak dibina mesti bertol, Projek mega negara mesti diusahakan melalui pihak ketiga, penswastaan terpilih GLC juga perlu berjaya biarpun sebenarnya menyusutkan perolehan. Apa gunanya menjadi rakyat negara kaya jika seumpama mendapat ayah yang kukuh ekonomi tetapi anak terbiar tidak cukup makan. 

Kata Tiong Lai "..projek kereta api ini akan membawa kepada banyak pembangunan ekonomi ke pantai Timur (semenanjung), Ia boleh mencungkil banyak potensi". China juga telah berjanji untuk memindahkan teknologi kereta api ke Malaysia, dan ini akan membantu Malaysia dalam membangunkan sistem rel, satu cara yang memberikan manfaat kepada pengangkutan awam. "..akan ada banyak aktiviti ekonomi.. malah, kita kini menikmati hasil hubungan erat dua hala yang dibina oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak... kita adalah sebuah negara yang kecil tetapi China memberikan kita banyak bantuan dan sokongan. Ini adalah baik untuk rakyat Malaysia.."

Keputusan pembatalan ECRL oleh Kerajaan Malaysia Baru digembar gemburkan dengan alasan antaranya

1. Kos Terlalu Tinggi :
Pihak yang menyatakan kos terlalu tinggi adalah kerajaan baru PH bukannya kerajaan lama BN. Kalaupun benar kos terlalu tinggi mengapa kerajaan lama BN mampu untuk melaksanakanya dengan mendakwa kos keseluruhannya adalah RM55 Billion. tetapi Kerajaan PH mendakwa kos adalah RM81 Billion, kerajaan mana yang terlalu mahal ? Katakanlah kos pebinaan adalah seperti diumum oleh kerajaan baru tetapi mengapa perlu dibatalkan projek rakyat ini dan sanggup membayar pampasan RM20Billion kepada China untuk benda yang sikit pun tidak ada hasil. Tetapi Tun Mahathir tidak teragak- agak telah mengistihar RM30 Billion untuk Projek Bandar Baru di Parlimennya Langkawi, bolehkah dikatakan bahawa sudah RM50 Billion bajet ECRL telah dirompak

2. Wang Dibayar Tanpa Mengambil Kira Kemajuan Projek
Ini satu lagi situasi yang pelik, Sudah dinyatakan dengan jelas bahawa projek akan selesai pada 2024, maka pembayaran secara harian, pembayaran ikut kemajuan projek atau berkala masih tetap dalam bajet asal RM55 Billion dan ia sudah dimaklumkan juga di Parlimen. Untuk bayaran, sebenarnya Kerajaan belum keluarkan belanja dan ia sebagaimana kebiasaan projek- projek yang dilaksanakan bersama pihak bank sebagaimana dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan pada waktu itu "Setakat yang saya tahu, ini adalah tawaran terbesar tunggal yang Malaysia akan tandatangani dengan China. dalam syarat- syarat pinjaman mudah yang akan diberikan oleh EXIM Bank china.. kadarnya sangat kompetitif dan pembayaran balik adalah lebih 20 tahun. Dan dalam tempoh tujuh tahun pertama Malaysia tidak perlu membayar apa- apa, faedah dan pembayaran balik" 

3. Bahan Dan Pekerja Adalah Dari China Rakyat Malaysia Tidak Mendapat Manfaat.
Matlamat asal pembinaan ECRL adalah untuk kemudahan perniagaan, perhubungan juga pengangkutan kepada rakyat setelah siap pembinaanya pada 2024, itulah tujuan utama, disebabkan itu ia perlu kepada jangka masa siap yang pantas untuk dinikmati dan bukannya tertumpu kepada fasa pembinaan. Sekiranya fasa pembinaan diambil kira juga, dakwaan tersebuat amat tidak benar sama sekali kerana laporan pada 5 April 2018 menyatakan Projek Rel Pantai Timur (ECRL) menyasarkan pengambilan 70% pekerja tempatan daripada jumlah tenaga kerja dari China dan negara Asia lain. Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mengambil sejumlah 1,718 orang bagi tenaga kerja pembinaan. "Daripada jumlah itu, bilangan tenaga kerja dari China hanya 311 orang atau 18% daripada keseluruhan tenaga kerja pembinaan ECRL pada masa imi" MRL adalah pemilik projek ECRL, manakala China Communication Constructions Company Ltd (CCCC) merupakan kontraktor utama projek tersebut. Jurucakap MRL berkata dianggarkan sebanyak 80,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung akan ditawarkan sepanjang tempoh pembinaan ECRL. "Pihak kontraktor utama ECRL akan terus memberi keutamaan kepada penggunaan bahan- bahan binaan dari syarikat tempatan di Malaysia.. bagaimanapun, beberapa mesin dan peralatan khas seperti mesin pengorek terowong perlu dibawa dari China dan dikendalikan oleh pakar untuk melancarkan kerja pembinaan terowong di lokasi tertentu". 

Setakat Febuari 2018, sebanyak 215 syarikat tempatan terlibat dalam pembinaan projek infra-rakyat ECRL, yang terdiri daripada 26 syarikat perunding, 99 syarikat pembekal dan 90 kontraktor tempatan. Dalam dakwaan ini kita mungkin jelas bahawa ECRL tidak melibatkan kroni atau pihak yang berkepentingan dengan pemimpin kerajaan Malaysia Baru, sangat mudah untuk menafsirkan alasan ini, bagi mereka yang pernah menjadi pemimpin atau penjawat jawatan tinggi dalam organisasi tentu lebih memahami dan bersetuju bahawa langkah membatalkan sesuatu projek adalah dikira perlu jika dia atau orang kepercayaannya tidak mendapat apa- apa hasil daripada projek dibawah persetujuannya, ini jelas apabila Tun Daim Zainuddin masih berkata ECRL boleh dilaksanakan oleh pihak swasta, Ini bertepatan dengan apa yang disiarkan oleh media di negara China;


Perdana Menteri Tun Mahathir adalah sangat pakar dalam meraih kepercayaan rakyat tetapi beliau perlu ingat bahawa rakyat pantai timur khasnya Kelantan tidak pernah dapat dijinakkan olehnya sejak tahun 1989 lagi.


Isnin, 6 Ogos 2018

Komunis Pilihan Rakyat Malaysia.... ?

Negara kita dikelilingi oleh jiran yang mengamalkan sistem pemerintahan pelbagai ragam, Myanmar sebuah Republik dipengaruhi tentera dan Canselor, Thailand dikuasai tentera yang taat kepada Raja, Singapura sebuah Republik yang mempunyai Presiden tetapi Perdana Menteri lebih berkuasa, Filipina juga mengamalkan kerajaan Republik tetapi tanpa Perdana Menteri, Indonesia juga sebuah republik demokrasi seperi Filipina yang kuasa dipegang oleh Presiden, Brunei sebuah negara monarki mutlak, Kemboja sebuah negara Raja Berperlembagaan mirip Malaysia, Laos dan Vietnam pula adalah 2 buah negara Sosialis dengan Setiausaha Agung parti sebagai kuasa paling berpengaruh dalam negara. Keunikan negara kita adalah terdapatnya gabungan sistem bernegara seperti negara- negara tersebut, Malaysia mengekalkan Raja seperti Thai, kemboja dan Brunei, Perdana Menteri yang menguruskan negara seperti Singapura dan Kemboja, berpandukan Rukun Negara sebagaimana Panca Sila di Indonesia, Malaysia juga mempunyai dewan suara rakyat sebagaimana Laos dan Vietnam tetapi Malaysia tidak mempunyai tentera yang menguasai seperti berlaku di Thailand.

Beberapa hari lalu berada di sebuah daripada 5 buah negara ( China, Korea Utara, Cuba, Laos & Vietnam ) dunia yang masih mengamalkan ideologi komunis iaitu Vietnam. Di Malaysia pada ketika ini sedang hangat dengan pelbagai masalah selepas kemenangan parti- parti dalam Pakatan Harapan. Pelbagai isu serta hal yang dulunya dianggap selesai dan tidak berbangkit kembali diketengahkan seperti pengiktirafan kepada perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM). Sebelum Tanah Melayu merdeka PKM adalah satu daripada parti berhaluan kiri yang mendesak untuk mencapai kemerdekaan secara kekerasan sebagaimana juga Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Tanah Air Melayu (PETA), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) juga Parti Hizbul Muslimin. Disebabkan parti -parti ini bersikap melawan penjajah maka usaha mereka tidak disukai dan pada 1948 parti- parti tersebut diharamkan tetapi PKM meneruskan matlamat mereka masuk ke hutan untuk berjuang secara gerila.

Perjuangan PKM di Malaysia tidak boleh disamakan dengan komunis di Vietnam, Komunis Vietnam diterima sebagai pejuang kemerdekaan rakyat kerana di bawa oleh Ho Chi Minh yang dari awal lagi menerima dan aktif dengan idea Marx- Zedong, Ho Chi Minh adalah pengerak komunis dunia yang bersama- sama menubuhkan kerajaan komunis di Soviet dan Cina, Kejayaannya memerdekakan Vietnam daripada Perancis dialu alukan oleh rakyat, atas kelebihannya sebagai pengerak bersama Komunis Antarabangsa (Comintern) sudah tentu Vietnam ingin ditadbir dengan acuan Marx, malangnya tidak semua bahagian Vietnam sehaluan dengan Ho Chi Minh, Vietnam di selatan dipengaruhi oleh Amerika dan menyekat usaha Kemerdekaan Vietnam secara menyeluruh sehingga tercetusnya Perang Vietnam yang berakhir tahun 1975 dan menjadi jolokan sebagai satu satunya perang yang Amerika dikalahkan. Ho Chi Minh diangkat sebagai wira walaupun pengakhiran perang itu Ho Chi Minh sudah meninggal dunia pada tahun 1969 lagi. Kemenangan komunis di Vietnam ini adalah atas bantuan Soviet dan China secara langsung ia menjadi medan perang Kapitalis barat dan Komunis. Sejuta tentera komunis gabungan China terbunuh di Vietnam berbaloilah jika Hanoi menjadi blok komunis.

Di Malaysia mutakhir ini beberapa individu yang lantang dan cenderung menyukai komunis antaranya Hishamuddin Rais, Mohamad Sabu, cucu pemimpin PKM Samsiah fakeh iaitu Jamaliah Jamaluddin, manakala DAP adalah organisasi politik di Malaysia yang strukturnya menyamai parti komunis. Pentadbiran baru kerajaan Malaysia di bawah Pakatan Harapan sedang menuju kearah unsur- unsur sosialis seperti slogan sama rata Malaysian Malaysia. Timbalan Speker dewan rakyat anak saudara pegasas PKM, Peguam Negara dan menteri Pertahanan juga adalah orang yang membela PKM, Pemimpin pemimpin kerajaan dari parti DAP sudah berani menidakkan bangsa Melayu sebagai bangsa yang lebih berhak ke atas Tanah Melayu, adakah boleh kita katakan kini penguasaan parti DAP dalam kerajaan Malaysia seumpama penguasaan Setiausaha Agong (Lim Guan Eng) parti komunis ke atas Presiden (YDP Agong) dan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir) di negara yang mengamalkan fahaman komunis.

Sebagaimana tuduhan PKM bahawa parti- parti politik yang direstui oleh Inggris seperti UMNO, MCA dan MIC adalah talibarut penjajah. Sejarah juga turut merakamkan bahawa PKM sebenarnya secara terang terangan bukanlah berjuang untuk rakyat, mereka berjuang untuk menubuhkan negara berideologi komunis, perjuangan mereka sejak awal adalah menerapkan fahaman sosialis, apabila mereka masuk ke hutan bukan sahaja untuk meneruskan rancangan menguasai tanah Melayu tetapi mempraktikkan buku merah Mao Zedong serta mendapat bekalan senjata dan bantuan dari China. PKM tidak menjadi talibarut Inggris tetapi mereka menjadi agen Komunis China, adakah perjuangan ini diterima sebagai perjuangan untuk rakyat Malaya yang kemudianya terus dengan cara kekerasan walaupun Tanah Melayu sudah merdeka tahun 1957 tetapi PKM memperhebatkan kempen keganasan kepada orang awam serta kemudahan kerajaan. PKM tetap berusaha biarpun Malaysia telah ditubuhkan pada 1963. Bolehkah mereka dianggap pejuang atau pengganas yang ingin menjajah sebagaimana Inggris menjajah sebelum negara merdeka ?

Vietnam memberi gambaran bahawa hampir setiap rakyat tidak ada perbezaan darjat, ekonomi hampir sekata, kebanyakan rakyat menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama. Pengunaan motokar diluluskan untuk kumpulan rakyat yang berpendapatan menengah dan tinggi tidak sebagaimana negara kita yang lebih terbuka. Rakyat Vietnam disediakan kemudahan asas agar tidak ada keinginan atau tuntutan yang lebih oleh rakyat. Rakyat disogokkan dengan semangat memuja pemimpin komunis, di mana- mana sahaja bahan propaganda di pamerkan agar rakyat sentiasa patuh dan berkorban untuk negara, Negara komunis mendidik rakyat agar memberi kepada negara dan tidak mempersoalkan apa yang pemimpin dan negara boleh berikan kepada rakyat, Tabung Harapan adalah contoh pemberian rakyat kepada negara bukan seperti BR1M di zaman BN yang mana hasil negara diagih kepada rakyat.

Di Vietnam kegiatan beragama masih diamalkan tetapi tanpa sokongan dan galakan kerajaan, dari masa ke semasa amalan beragama dan kitab suci tidak akan menjadi panduan hidup sebaliknya buku merah komunislah yang menjadi pegangan sementara patung patung ikon komunis serta jasad Ho chi Minh menjadi sembahan baru rakyat berideologi komunis. Komunis adalah satu sistem yang memberi kelebihan kepada golongan pemerintah tetapi menghambakan golongan rakyat. Ia menyediakan satu kerajaan semut yang mana ketua dan golongan atasan menikmati keselesaan sementara rakyat dikelas kelas kepada kelompok tentera, peniaga, buruh dan petani, potensi diri individu tidak dapat dibina, oleh kerana sisitem ini dirasakan tidak dapat memerdekakan jiwa manusia, Soviet Union runtuh, China membuka pintu kepada dunia sementara Vietnam pula lebih kepada "Komunis Kapitalis".



Dalam pemerhatian di bandar Saigon ini, saya mensyukuri Malaysia yang dibina dan diasaskan sistemnya oleh UMNO / BN, Negara kita terus memelihara amalan beragama, tidak perlu mencari kitab Karl Marx untuk mendisiplinkan dan memupuk kesetiaan kepada negara sehingga melampaui panduan Al-Quran dan kitab kitab agama lain dalam negara. 

Vietnam sedang berkembang pesat, orang asing datang bergembira dan berlibur tetapi rakyat kehilangan rasa dan jiwa bukan sahaja disebabkan trauma perang yang dahsyat tetapi juga kerana sistem komunis  yang menidakkan fitrah manusia. Lihatlah kehidupan dan bahasa badan mereka, kita akan nampak dan rasa inilah rakyat ala zombie yang dicipta oleh komunis.