clixsense

Isnin, 27 Mei 2013

Rasuah Terbuka Penyubur Kekalahan BN Kelantan..

Bermula Pilihanraya ke 12 adalah bermulanya apa yang dinamakan oleh Barisan Nasional sebagai Tsunami tetapi bagi Pembangkang PRU 12 adalah bermulanya kesedaran pengundi muda, trend sebegitu berlarutan hingga ke PRU 13 dan saya percaya keadaan tersebut akan terus berlaku yang menyebabkan kerajaan BN tidak akan selesa untuk menumpukan kepada tugas mentadbir tetapi BN akan sentiasa beransur- ansur berpolitik sepanjang masa sebagaimana dilakukan oleh pihak pembangkang. Satu perkara yang barangkali paling penting dan paling  susah untuk ditangani oleh mereka yang percaya kepada konsep wang adalah segalanya iaitu "Pengundi Luar", penyumbang terbesar kemenangan Pembangkang di negeri yang rakyatnya gemar berhijrah dan dalam tulisan ini ia berkenaan dengan negeri Kelantan.
Sedar atau tidak sebelum pilihanraya 2008 Pengundi Luar tidak dibayar atau dengan lebih tepat kalaupun ada ianya tidak dibayar secara terbuka dan terlalu dihebahkan seperti yang berlaku pada pilihanraya lalu. 
Di Kelantan dan mungkin juga berlaku di tempat- tempat lain, Pengundi Luar dianggap orang yang penting dan kepulangan mereka untuk mengundi perlu dibayar dengan jumlah tertentu daripada sekecil RM50 hinggalah ribuan ringgit. Inilah barangkali yang membuat penghijrah semakin galak untuk pulang ke kampung dan memberi undi, secara rawaknya mereka yang bekerja diluar adalah mereka yang tidak meneruskan pelajaran dan mengambil jalan untuk bekerja atau mereka yang berpelajaran tinggi tetapi bekerja di luar Kelantan kerana daya tarikan tempat orang lebih daripada tempat sendiri. Tinggalah anak muda yang berfikiran sederhana dan bersemangat meneruskan tradisi kedesaan yang tetap menjana kerjaya dan peluang tersendiri di tanah kelahiran. 
Mereka yang tetap berada di Kelantan sebahagian besarya menyokong kerajaan pusat kerana mereka merasai kehidupan mereka banyak dibantu oleh kerajaan pusat, mereka punya keazaman untuk membangunkan negeri dan berharap suatu hari saudara mara dirantauan akan puang dan bekerja di Kelantan. Malangnya mereka dirantauan tidak punya agenda untuk bekerja di negeri sendiri, 
mereka lebih selesa biar papa asal bergaya di tempat orang, 
mereka rela berpura- pura hidup senang di tempat orang, 
mereka megah pulang bercuti dengan motokar ke kampung dengan tanggapan bahawa kehidupan mereka sangat baik biarpun kereta tersebut bukan milik sendiri, 
mereka rela susah di tempat orang asalkan orang tua di kampung tidak tahu, 
mereka bangga berkahwin dengan pasangan negeri lain kerana kononnya gaya moden, 
mereka bangga negeri mereka di perintah oleh parti yang berbeza daripada negeri lain kerana katanya itulah keunikan budaya mereka, 
mereka amat taksub dan suka melawan arus kerana beranggapan itulah yang terbaik untuk mereka dan negeri mereka.. 
Itu antara sikap dan pegangan oleh kebanyakan Pengundi Luar biarpun mereka adalah anak ketua cawangan UMNO di negeri Kelantan.
Atas rasa percaya kepada keluarga di luar Kelantan berpuluh- puluh nama pengundi luar dikalangan keluarga sendiri disenaraikan untuk bayaran tambang keluarga mereka dengan anggapan yang pulang itu akan mengundi BN, sedangkan mereka yang bertungkus lumus dikampung berkempen dan memasang poster atau sepanduk akhirnya hanya makan hati dan biskut kering sahaja. tidak sepadan langsung jika dibanding dengan habuan Pengundi Luar yang hanya pulang untuk belajar mengundi dan selepas itu tidak peduli siapa yang menang dan siapa yang memberi kesenangan, yang penting PAS pun bayar tambang, dan BN membayar juga tetapi pasal undi itu rahsia.. yang jelas dua kali pilihanraya tersebut Pengundi Luar tidak dapat dibeli oleh BN mereka tetap memilih PAS.
PRU 2008 UMNO Kelantan memutuskan untuk tidak lagi membayar kepada Pengundi Luar, itulah ketetapan bersama yang dipersetujui oleh seluruh jentera BN Kelantan sewaktu post mortem selepas tewas dengan teruk dan itu jugalah yang dijadikan ketetapan  untuk diajukan kepada PM dan sepakat berjanji bahawa pada PRU13 tidak ada lagi bayaran untuk Pengundi Luar, dan sebagaimana Tun M mengatakan Melayu mudah lupa dan itu jugalah yang terjadi kepada Melayu UMNO dan BN Kelantan pada PRU13, Pengundi Luar tetap dibayar dan pembayarannya seakan tidak terkawal hingga berlaku lebihan wang pula.. kalau diambil kira jika bayaran adalah ukuran kemenangan sudah semestinya BN sentiasa menang tetapi di Kelantan BN setiasa malang.
Kita tidak tahu sampai bilakah orang BN dan juga PR atau PAS di Kelantan akan membudayakan RASUAH TERBUKA ini, apakah akan jadi di masa depan jika rakyat beranggapan undi mereka perlu dibayar dan bukan lagi suatu tanggungjawab tanpa ganjaran, ini akan menyebabkan bukan sahaja Pengundi Luar yang perlu dibayar malahan setiap pengundi mesti dibayar sekiranya amalan membayar undi ini tidak ditinggalkan.
Parti politik jangan beranggapan wang mereka boleh membeli undi sekiranya calon atau parti mereka tidak menepati kehendak rakyat.. Barisan Nasional jangan menjadi sebagaimana kerjaya sebagai penguatkauasa yang mana mereka ditakuti, dihormati dan diperlukan pada masa masa tertentu tetapi percayalah pada kebanyakan masa mereka yang terlibat dengan penguatkuasaan sebenarnya tidak disukai dan disumpah keji di belakang mereka. Jadilah seperti Tok Bilal Masjid, walaupun mereka tidak dipeduli, tidak disanjung, kadangkala tersisih dan dianggap kolot tetapi mereka tidak akan dimaki hamun dan tidak dibenci oleh rakyat.

Isnin, 13 Mei 2013

Kenapa DSAI berjaya...

Hari ini adalah tanggal 13 Mei iaitu tarikh hitam dalam sejarah negara yang berlaku pada 1969 akibat daripada keputusan pilihanraya umum dua hari sebelum itu yang dilihat buat pertama kalinya kaum cina dapat menyaingi kerusi Perikatan terutama di negeri Selangor. Hari ini juga tarikh yang sama pergaduhan kaum tidak berlaku tetapi kegusaran Barisan Nasional akan sokongan kaum cina jelas berlaku. MCA ditolak hampir keseluruhannya oleh kaum cina begitu juga rakan- rakan parti cina yang lain di dalam BN.

Mahu tidak mahu itulah kejayaan DAP yang telah memikat sokongan kaum cina dan itu jugalah kejayaan yang dapat dilihat atas usaha Anwar Ibrahim yang bijak memainkan sentimen dan harapan kepada penentang dan pengikutnya. Apa saja skandal atau kes peribadi yang melanda dirinya tidak dapat mematikan langkah perjuangannya bahkan dia semakin liat untuk dilenyapkan oleh musuh- musuhnya. Bukan kerana dia pemimpin yang bersih dan berkebolehan membawa agenda pembangunan yang lebih baik tetapi kerana watak, pidato, jasa dan kelicikannya merebut setiap ruang lalai yang diberi oleh kerajaan BN tambahan pula kerja kritik dan bantah adalah kerja yang lebih mudah jika dibandingkan dengan kerja membina dan membimbing oleh parti yang memerintah. Dengan kata lain nafsu (negatif) berjumlah 9 dan akal (positif) itu 1 menyebabkan ramai yang lebih suka terjerumus dengan nafsu (negatif) jadi kemungkinan besar undi popular yang diperolehi oleh Anwar Ibrahim adalah didokong oleh unsur nafsu (negatif).
Berpunca daripada kecenderungan nafsu inilah BN sukar untuk menarik sokongan terutama golongan muda yang mana sikap memberontak, inginkan kelainan, mementingkan diri, melawan arus adalah sifat semulajadi darah muda. 


Rabu, 8 Mei 2013

Kelantan Tanpa Nik Aziz... kecelaruan bermula


Kerajaan baru kelantan tanpa penglibatan Nik Aziz secara langsung dijangka akan menyebabkan pentadbiran menjadi semakin celaru. Jika sebelum ini di bawah Nik Aziz sebagai Menteri Besar walaupun pentadbiran kurang cekap tetapi atas faktor Menteri Besar yang dihormati dan disegani  para exco dan pentadbir negeri tetap menjalankan tugas dengan bersopan dan tidak terlalu memperlihatkan kuasa dan kerakusan yang dimiliki walaupun unsur tersebut tetap ada. Selepas PRU 13 jawatan MB adalah dipertanggungjawab kepada Ahmad Yaakob yang dipercayai bekerja dalam diam dan tidak menonjolkan diri dalam isu perebutan kerusi MB sewaktu Nik Aziz masih sebagai ketua kerajaan negeri sebagaimana Husam Musa dan Nik Amar. Tetapi sekiranya mengikut pandangan ramai ahli PAS sendiri mereka lebih menggemari Nik Amar memegang jawatan MB berdasarkan hubungan keluarga dan penampilan lebih menghampiri cara Nik Aziz. 
Perkembangan yang tidak memihak kepada arkitek politik PAS di Kelantan iaitu Husam Musa yang dikatakan  oleh Menteri Besarnya, Ahmad Yakob bahawa Sultan Muhammad V di saat-saat akhir menolak nama Husam walaupun pemimpin PAS itu antara yang paling banyak berjasa kepada Kelantan sebelum ini.

Menurutnya, selain Husam, nama Adun Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman juga ada dimasukkan dalam senarai tersebut namun turut tidak mendapat persetujuan baginda.“Nama Husam atas sekali, yang keduanya exco lain termasuk Datuk Amar (Datuk Mohd Amar Nik Abdullah) dan ustaz Latiff (Abdul Latiff). Ini nama kita kemukakan untuk mendapat keizinan tuanku bagi pelantikan exco. “Apabila diangkat, tuanku tak naik (tolak) nama Husam dengan ustaz Latiff, turun (senarai nama dikembalikan) supaya proses semula tanpanya, ini yang memberatkan saya bagaimanapun mengingatkan kalau tidak ikut, tidak boleh angkat sumpah jadi angkatlah saya sebagaimana yang dipersetujui, masa itu sudah dekat pukul 4 petang,” katanya kepada media semalam. Kini ramai pihak dalam kalangan pejuang- pejuang pilihanraya PAS yang melenting bukan sahaja kerana keciciran Husam Musa tetapi juga cara pemilihan teraju negeri sehingga adanya penganjuran bantahan secara menyeluruh di negeri Kelantan.

Senario ini barangkali boleh menumbangkan negeri sekiranya perbezaan kerusi tidak banyak tetapi memandangkan BN hanya memperolehi 12 daripada 45 kerusi Dun menyebabkan BN hanya mampu menyaksikan pentadbiran oleh PAS yang kucar- kacir dan tidak terkawal, menyebabkan rakyat tidak memperolehi manfaat yang sebaiknya di bawah pentadbiran PAS Kelantan.