clixsense

Rabu, 27 Ogos 2014

Dua Institusi Penentu PRK N01 Pengkalan Kubor

Kelantan adalah antara negeri yang sentiasa ada pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum, seperti mana pilihanraya kecil di lain- lain tempat keputusan kebiasaannya lebih cenderung memihak kepada Barisan Nasional walaupun ada yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat tetapi ia biasanya hanya mengekalkan kemenangan dan bukannya merampas kerusi lawan.
Pada pilihanraya kecil di N01 Pengkalan Kubur ini pula, diramalkan BN akan terus memenangi kerusi itu jika calon dari PKR dipertaruhkan tetapi jika calon dari PAS berkemungkinan undi BN akan merosot kalaupun tidak tewas. Apa yang menarik di Dun Pengkalan kubur ini adalah pengaruh dua institusi yang mempengaruhi sentimen pengundi iaitu Institusi masjid dan Pondok juga Tokong / kuil Buddha. 
Seperti mana di Selatan Thai, barangkali Dun ini juga sebenarnya lebih mirip kepada serambi Siam daripada mendekati jolokan Serambi Mekah. 
Dua Wat Siam utama iaitu di Kg Jubakar Darat, Wat Phikul Yai, dan di Kg Mentua ada Wat Siklaloy, masyarakat Siam disini mempunyai taburan wat lain, termasuk wat Machimaran yang adanya patung Buddha kategori duduk yang terbesar di Asia Tenggara. 
Bagi orang Islam pula, ada 5 buah masjid mukim iaitu Masjid Al- Huda di Ketil, masjid As-Somadi di Geting, tiga masjid lain terdapat di Mukim Simpangan, Mukim Bendang Pak Yong dan masjid Sub- Mukim Kubang Sawa. Dua pusat pengajian pondok akan memberi pengaruh kepada pengundi yang sentiasa melihat agama Islam mesti sentiasa mendepani apa sahaja termasuk dalam soal kepimpinan. Pondok Neting iaitu Madrasah Ar- Rahmaniah yang pengasas dan mudirnya adalah Ustaz Muslim bin Zakaria dan Pondok Geting Madrasah An Najmiah yang mana pengasas dan mudirnya paling lantang menyerang PAS terutama bekas menteri besar sendiri Yb Nik Aziz Nik Mat, iaitu Hj Abdullah Sa'amah. Dua Institusi pondok ini lebih terbuka dan menerima pendekatan Barisan Nasional.
Apa yang saya andaikan adalah kemenangan tiga penggal Allahyarham Dato' Norzahidi Omar bolehlah dikatakan kerana kejayaanya menyekat pengaruh PAS daripada menguasai Institusi masjid dan pondok di Dun Pengkalan kubor disamping bijak memenangi sokongan masyarakat Siam secara berterusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan