clixsense

Selasa, 9 Ogos 2016

Perpecahan Besar Dalam UMNO

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersama penyokong beliau telah menubuhkan parti baru iaitu Parti Peribumi Bersatu Malaysia atau BERSATU, penubuhan ini rentetan serangan luar dan dalam terhadap PM Najib Razak dan Institusi Presiden, oleh kerana amaran dan gesaan meletakkan jawatan oleh Tun Mahathir tidak diendah, parti ini ditubuhkan untuk mencabar BN pada pilihanraya. Bagi ahli UMNO dan rakyat yang tidak melihat kepada sejarah perebutan jawatan dalam parti itu sudah tentu mereka risau dan bimbang, antara 4 perpecahan besar lain yang melibatkan lahirnya parti- parti baru yang menentang bekas parti yang pernah mereka bernaung adalah..      

1. Diawal penubuhan UMNO, Pengasasnya Datuk Onn Jaafar  menyuarakan pendapat untuk membuka keahlian kepada semua kaum, kemudiannya beliau berasa kecewa dengan apa yang beliau menganggap sebagai dasar-dasar perkauman UMNO, dan mencadangkan bahawa keahlian parti dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu, tanpa mengira kaum, dan nama UMNO ditukarkan menjadi "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu". Oleh sebab cadangan itu ditentangkan, Dato Onn meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 - 26 Ogos 1951. Dato Onn kemudian menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos 1951. Malangnya, parti tersebut tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu. Pada tahun 1954, beliau meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Parti Negara bagi tujuan bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955. Parti Negara menyekatkan keahlian bukan orang Melayu dalam satu percubaan untuk memperoleh sokongan daripada orang-orang Melayu. Walaupun demikian, partinya masih gagal mendapat sokongan dan tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya itu. Bagaimanapun, Dato Onn masih berusaha untuk mendapatkan tempat dalam politik. Akhirnya, beliau berjaya mendapat satu kerusi di kawasan parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam Pilihanraya Umum 1959 dengan bantuan parti PAS.

2. Daripada UMNO  lahirnya Pas yang ditubuhkan pada 1950 iaitu hasil daripada Seminar yang dianjurkan oleh UMNO di Muar, Johor bagi mencari jalan untuk menyatu-padukan alim ulama supaya perjuangan UMNO untuk menegakkan agama Islam menjadi lebih berkesan. Nama sebenar yang diberikan oleh persidangan ini kepada Pas ialah Persatuan Islam Se Tanah Melayu dan ia menjadi salah satu sayap UMNO untuk memperjuangkan kedudukan Islam di negara ini. Ia dipimpin oleh Tuan Haji Ahmad Fuad Hasan yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Pada ketika ini banyak di kalangan ulama-ulama yang menjadi ahli UMNO dan pada masa yang sama menjadi ahli Pemuda dan Wanita. Ini ialah kerana Pas hanyalah sayap kepada UMNO dan menjadi sebahagian daripada sistem politik UMNO itu sendiri. Pas mula mengasingkan dirinya daripada UMNO apabila Datuk Onn mengundur diri daripada UMNO dan Haji Ahmad Fuad seorang penyokong kuat Datuk Onn kalah dalam pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO. Tiga orang calon mengambil bahagian. Selain daripada Haji Ahmad Fuad, calon yang lain ialah Datuk Zainal dan Tunku Abdul Rahman Putra. Tunku Abdul Rahman memenangi jawatan itu dan sejak daripada itu, Tuan Haji Ahmad Fuad yang kekal menjadi Yang Dipertua Pas mula mengambil langkah membawa Pas keluar daripada UMNO. Tetapi tidak lama selepas itu, Haji Ahmad Fuad meletakkan jawatan daripada Pas kerana perbezaan pendapat bagi menghadiri konvensyen: satu yang dianjurkan oleh Datuk Onn dan yang satu lagi dianjurkan oleh UMNO bagi membincangkan kemerdekaan Malaya.Mesyuarat Agung Khas Pas bersetuju menghadiri persidangan yang dianjurkan oleh UMNO dan menolak cadangan Haji Ahmad Fuad. Atas alasan itu beliau meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Pas dan jawatan beliau dipangku oleh Dr. Haji Abbas Alias.

3. Parti Melayu Semangat 46 atau Semangat 46 (Singkatan: S46) merupakan sebuah parti politik serpihan UMNO. S46 ditubuhkan pada tahun 1988 selepas kekalahan Tengku Razaleigh Hamzah menentang Dato seri Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan Presiden UMNO dengan majoriti 43 undi. Selepas itu Tengku Razaleigh mendakwa UMNO dan memenangi kes ini, menyebabkan pendaftaran UMNO dilucutkan. Selepas ini, Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Semangat 46 bersama dengan Dato Seri rais Yatim. Maksud "Semangat 46" ialah, meneruskan semangat penubuhan UMNO yang ada pada tahun 1946. Manakala Datuk Seri Dr Mahathir menubuhkan UMNO Baru ketika itu, untuk menggantikan UMNO yang diharamkan sebelum itu. Tengku Razaleigh mendakwa bahawa parti Semangat 46 ini ialah parti UMNO yang sebenar dan asal, manakala UMNO Baru yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir itu merupakan satu tiruan sahaja

4. Parti KeADILan Nasional merupakan sebuah parti politik Malaysia yang lahir daripada gelombang Reformasi yang melanda negara selepas pemecatan Anwar Ibrahim daripada UMNO pada 2 September 1998. Sekumpulan NGO dan parti pembangkang kemudian menubuhkan Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK). Pendokong reformasi kemudiannya menubuhkan Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL) untuk memberi platform kepada perjuangan mereka.Selepas itu, usaha menubuhkan parti politik menghadapi jalan buntu disebabkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).Maka gerakan Reformasi mengambil keputusan untuk mengambil alih sebuah parti kecil yang sedia ada iaitu Ikatan Masyarakat Islam Malaysia yang ditubuhkan pada 1990. Pelancaran Parti KeADILan Nasional diadakan pada 4 April 1999. Selepas Pilihanraya 1999, kesedaran timbul tentang keperluan Parti Keadilan Nasional dan PRM bergabung, berdasarkan komitmen mereka yang sama terhadap Reformasi, menentang ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa. Pada 3 Ogos 2003 Keadilan dan PRM melancarkan Parti Keadilan Rakyat di Kuala Lumpur.Pada waktu itu Pendaftar Penubuhan masih enggan meluluskan pendaftaran parti. Maka pada Pilihanraya Umum 2004, calon-calon PRM bertanding di atas platform Keadilan. Calon tunggal yang menang ialah Presiden Parti iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah di Permatang Pauh, Pulau Pinang. Selepas Pilihanraya Umum, akhirnya Parti Keadilan Rakyat diluluskan penubuhannya.

Selepas mengetahui punca dan sebab di atas, diharap agar ahli dan penyokong UMNO boleh menilai dan menyedari di mana kekuatan UMNO yang sebenarnya. Ia bukan terletak kepada kehebatan individu tetapi kerana keteguhan akar umbi dan sokongan padu daripada ahli dan pemimpin pemimpin kecil dari cawangan- cawangan UMNO. Oleh itu usahlah mendabik dada sebagai ketua yang hebat kerana sejarah sudah membuktikan kehebatan pemimpin adalah kerana institusi yang disandangnya dan bukanlah kerana kemasyuran atau kehebatan batang tubuh seseorang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan