clixsense

Isnin, 18 Jun 2018

Pemimpin UMNO masih tak sedar...

Kebelakangan ini ramai ahli- ahli Umno yang tidak berjawatan tinggi sedang menyuarakan ketidakpuasan hati secara terbuka kepada Badan Perhubungan Umno Kelantan yang melalui Timbalan Pengerusi Perhubungannya Iaitu Dato Jazlan Yaakob yang secara terbuka menyatakan pendirian menyokong Dato Seri Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno. Pengumuman ini membuatkan ramai yang meluahkan kekecewaan kepada ahli- ahli mesyuarat yang terdiri daripada Ketua- Ketua Umno Bahagian, rentetan pengumuman yang dikira gopoh ini ada suara- suara lantang agar Ketua - ketua Bahagian yang terlibat perlu diganti dan diturunkan oleh perwakilan dengan muka baru.

Ketidakpuasan hati yang diluahkan ini mengambil kira pencalonan Tengku Razaleigh Hamzah yang seolah tidak diberi muka dan dilihat tidak disokong sedangkan ia sepatutnya mewakili calon Umno dari Kelantan dalam menawarkan diri untuk jawatan Presiden Umno.

Setelah beberapa hari penulis memberi pendapat dah hujah, serta menilai apakah logiknya perhubungan Umno menyatakan pendirian tersebut, penulis semakin dapat jawapan. Yang sebenarnya sikap seperti ini telah berbudaya dalam Umno Kelantan dan membuat kesimpulan bahawa budaya inilah yang menyebabkan Umno Kelantan tidak mampu merampas negeri daripada parti PAS sedangkan Bahagian Gua Musang hampir sepanjang zaman memihak kepada BN. Penulis difahamkan bahawa Perhubungan Umno mengambil jalan untuk menyokong Dato Seri Zahid Hamidi dan sekiranya ada calon lain (KJ) juga akan disokong tetapi bukan Ku Li.. keputusan yang diambil ini sebenarnya adalah strategi menguntungkan pemimpin parti dan bukannya memperkuatkan parti inilah yang sekian lama merosakkan Umno Kelantan.

Difahamkan pemimpin seperti Dato Seri Zahid Hamidi adalah orang yang boleh berunding dengan Tun Mahathir untuk rancangan penggabungan dan perpindahan sokongan Umno kepada PH yang diketahui sedang difikirkan oleh pemimpin Umno dan Bersatu, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Khairil Jamaluddin juga dilihat pemimpin yang boleh menyelamatkan Umno daripada terus menjadi Pembangkang, dengan kata mudahnya UMNO Kelantan masih berharap akan menjadi sebahagian kerajaan Malaysia Baru sekiranya pengharapan mereka berjaya.

Inilah dia penyakit yang membarah dalam Umno Kelantan dan mungkin juga Malaysia, sudah kalah tetapi masih terus ingin memburu kesenangan dalam Kerajaan, pimpinan Umno masih tidak sanggup hidup tanpa bantuan, pemimpin Umno Kelantan tidak pandai lagi mencari rezeki sekiranya tidak bersama Kerajaan mereka ini yang setiap hari mencemuh kakitangan awam terutama guru yang dikatakan berpaling tadah rupa rupanya hasrat tersebut ada juga dalam hati kebanyakan pemimpin Umno Kelantan
.
Kerana kebergantungan kepada kerajaan pusat, kerana pemimpin Umno ini sentiasa dimanjakan sekian lama membuatkan mereka berfikir tidak perlu lagi berusaha untuk merampas negeri Kelantan daripada PAS. Pemimpin Umno ini sudah kenyang dan hidup selesa dengan bantuan dan projek daripada kerajaan pusat yang tidak putus putus walaupun berada di negeri tewas, apa guna menewaskan PAS jika sudah dalam keadaan selesa. Dan bila Kerajaan pusat tewas pemimpin pemimpin ini masih berharap agar dapat bersama Kerajaan pusat selain BN ... untuk apa ? untuk diri, keluarga dan kroni kroni.. dan jangan cakap 'untuk rakyat'.

Amat malang menjadi seorang pemimpin yang memikirkan kekuatan parti, parti yang kuat tanpa mengharap bantuan parti lain tanpa berharap ehsan pemimpin parti lawan. Ku Li tidak perlukan projek dan pertolongan kewangan daripada pihak lain. Ku Li percaya bahawa Tun Mahathir atau Anwar bukan tempat untuk berharap. Ku Li adalah lebih beintegriti bila sanggup menjadi pembangkang dan bukan berharap menjadi Kerajaan dengan mengkhianati undi rakyat. jika rakyat sudah tidak memilih BN bermakna Umno akan terus tidak dipilih rakyat kalaupun Umno dipelawa bersama PH.. Umno akan menjadi parti yang melukut di tepi gantang. Penulis berkeyakinan tinggi sekiranya Ku Li menjadi Presiden Umno, 18 ahli Parlimen PAS tidak akan ragu ragu akan menyokong penuh Ku Li dan Umno dan untuk bekerjasama dalam PRU 15, ingatlah PAS hanya mempercayai Ku Li dalam isu royalti minyak bukan Tun Mahathir atau Anwar Ibrahim. Ku Li juga ada keupayaan mempengaruhi rakan- rakan dalam PH.

Perlu diketahui bahawa sebelum ini Penulis antara yang paling marah atas perbuatan Ku Li bersekongkol bersama PAS menumbangkan BN pada tahun 1990 tetapi setelah diteliti maka penulis membuat kesimpulan bahawa Ku Li hanya mempertahankan pendiriannya. Ku Li tidak diterima oleh Tun Mahathir untuk mendaftar sebagai ahli Umno Baru, penulis juga diberitahu oleh seorang pengamal undang undang bahawa pengharaman Umno adalah atas kehendak Mahathir waktu itu dan bukan disebabkan 11 orang yang membawa kes ke Mahkamah. Kes yang dibawa ke mahkamah hanyalah untuk membatalkan kemenangan Mahathir dalam pemilihan Umno bukannya untuk mengharamkan parti Umno. Dengan keadaan ini Ku Li hanyalah menjadi Presiden kepada parti S46 yang di daftar oleh Tunku Abdul rahman dan Tun Hussin Onn. Mana mungkin Ku Li yang menjual tanah tapak PWTC dan Ibu Pejabat UMNO kepada parti dengan nilaian RM1. Mana mungkin seorang yang sanggup menyerahkan Bank Bumiputera yang dibinanya kepada Umno selain daripada bukti rasa sayangnya kepada Umno.

Penulis tidak ada apa apa keuntungan dengan membela Ku Li penulis juga tidak merasa rugi jika tidak memihak kepada Zahid Hamidi dan Penulis tidak ada apa- apa yang dikejar sekiranya tidak bersedia menyokong pemimpin muda KJ kerana penulis hanya ingin bersama UMNO, ingin melihat Umno kembali diterima rakyat bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi disegani dan disukai oleh semua bangsa di Malaysia.. Penulis ingin melihat pemimpin Umno Kelantan khasnya bukan sahaja membuang sikap tamak dan selesa tetapi pemimpin yang malu berada dalam parti yang meneruskan tradisi tidak mahu menang. Umno mesti menjadi rotan yang pucuknya ingin menjulang ke awan bukan menjadi dedalu yang hinggap didahan yang akhirya akan runtuh bersama dahan.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan