clixsense

Isnin, 27 Mei 2013

Rasuah Terbuka Penyubur Kekalahan BN Kelantan..

Bermula Pilihanraya ke 12 adalah bermulanya apa yang dinamakan oleh Barisan Nasional sebagai Tsunami tetapi bagi Pembangkang PRU 12 adalah bermulanya kesedaran pengundi muda, trend sebegitu berlarutan hingga ke PRU 13 dan saya percaya keadaan tersebut akan terus berlaku yang menyebabkan kerajaan BN tidak akan selesa untuk menumpukan kepada tugas mentadbir tetapi BN akan sentiasa beransur- ansur berpolitik sepanjang masa sebagaimana dilakukan oleh pihak pembangkang. Satu perkara yang barangkali paling penting dan paling  susah untuk ditangani oleh mereka yang percaya kepada konsep wang adalah segalanya iaitu "Pengundi Luar", penyumbang terbesar kemenangan Pembangkang di negeri yang rakyatnya gemar berhijrah dan dalam tulisan ini ia berkenaan dengan negeri Kelantan.
Sedar atau tidak sebelum pilihanraya 2008 Pengundi Luar tidak dibayar atau dengan lebih tepat kalaupun ada ianya tidak dibayar secara terbuka dan terlalu dihebahkan seperti yang berlaku pada pilihanraya lalu. 
Di Kelantan dan mungkin juga berlaku di tempat- tempat lain, Pengundi Luar dianggap orang yang penting dan kepulangan mereka untuk mengundi perlu dibayar dengan jumlah tertentu daripada sekecil RM50 hinggalah ribuan ringgit. Inilah barangkali yang membuat penghijrah semakin galak untuk pulang ke kampung dan memberi undi, secara rawaknya mereka yang bekerja diluar adalah mereka yang tidak meneruskan pelajaran dan mengambil jalan untuk bekerja atau mereka yang berpelajaran tinggi tetapi bekerja di luar Kelantan kerana daya tarikan tempat orang lebih daripada tempat sendiri. Tinggalah anak muda yang berfikiran sederhana dan bersemangat meneruskan tradisi kedesaan yang tetap menjana kerjaya dan peluang tersendiri di tanah kelahiran. 
Mereka yang tetap berada di Kelantan sebahagian besarya menyokong kerajaan pusat kerana mereka merasai kehidupan mereka banyak dibantu oleh kerajaan pusat, mereka punya keazaman untuk membangunkan negeri dan berharap suatu hari saudara mara dirantauan akan puang dan bekerja di Kelantan. Malangnya mereka dirantauan tidak punya agenda untuk bekerja di negeri sendiri, 
mereka lebih selesa biar papa asal bergaya di tempat orang, 
mereka rela berpura- pura hidup senang di tempat orang, 
mereka megah pulang bercuti dengan motokar ke kampung dengan tanggapan bahawa kehidupan mereka sangat baik biarpun kereta tersebut bukan milik sendiri, 
mereka rela susah di tempat orang asalkan orang tua di kampung tidak tahu, 
mereka bangga berkahwin dengan pasangan negeri lain kerana kononnya gaya moden, 
mereka bangga negeri mereka di perintah oleh parti yang berbeza daripada negeri lain kerana katanya itulah keunikan budaya mereka, 
mereka amat taksub dan suka melawan arus kerana beranggapan itulah yang terbaik untuk mereka dan negeri mereka.. 
Itu antara sikap dan pegangan oleh kebanyakan Pengundi Luar biarpun mereka adalah anak ketua cawangan UMNO di negeri Kelantan.
Atas rasa percaya kepada keluarga di luar Kelantan berpuluh- puluh nama pengundi luar dikalangan keluarga sendiri disenaraikan untuk bayaran tambang keluarga mereka dengan anggapan yang pulang itu akan mengundi BN, sedangkan mereka yang bertungkus lumus dikampung berkempen dan memasang poster atau sepanduk akhirnya hanya makan hati dan biskut kering sahaja. tidak sepadan langsung jika dibanding dengan habuan Pengundi Luar yang hanya pulang untuk belajar mengundi dan selepas itu tidak peduli siapa yang menang dan siapa yang memberi kesenangan, yang penting PAS pun bayar tambang, dan BN membayar juga tetapi pasal undi itu rahsia.. yang jelas dua kali pilihanraya tersebut Pengundi Luar tidak dapat dibeli oleh BN mereka tetap memilih PAS.
PRU 2008 UMNO Kelantan memutuskan untuk tidak lagi membayar kepada Pengundi Luar, itulah ketetapan bersama yang dipersetujui oleh seluruh jentera BN Kelantan sewaktu post mortem selepas tewas dengan teruk dan itu jugalah yang dijadikan ketetapan  untuk diajukan kepada PM dan sepakat berjanji bahawa pada PRU13 tidak ada lagi bayaran untuk Pengundi Luar, dan sebagaimana Tun M mengatakan Melayu mudah lupa dan itu jugalah yang terjadi kepada Melayu UMNO dan BN Kelantan pada PRU13, Pengundi Luar tetap dibayar dan pembayarannya seakan tidak terkawal hingga berlaku lebihan wang pula.. kalau diambil kira jika bayaran adalah ukuran kemenangan sudah semestinya BN sentiasa menang tetapi di Kelantan BN setiasa malang.
Kita tidak tahu sampai bilakah orang BN dan juga PR atau PAS di Kelantan akan membudayakan RASUAH TERBUKA ini, apakah akan jadi di masa depan jika rakyat beranggapan undi mereka perlu dibayar dan bukan lagi suatu tanggungjawab tanpa ganjaran, ini akan menyebabkan bukan sahaja Pengundi Luar yang perlu dibayar malahan setiap pengundi mesti dibayar sekiranya amalan membayar undi ini tidak ditinggalkan.
Parti politik jangan beranggapan wang mereka boleh membeli undi sekiranya calon atau parti mereka tidak menepati kehendak rakyat.. Barisan Nasional jangan menjadi sebagaimana kerjaya sebagai penguatkauasa yang mana mereka ditakuti, dihormati dan diperlukan pada masa masa tertentu tetapi percayalah pada kebanyakan masa mereka yang terlibat dengan penguatkuasaan sebenarnya tidak disukai dan disumpah keji di belakang mereka. Jadilah seperti Tok Bilal Masjid, walaupun mereka tidak dipeduli, tidak disanjung, kadangkala tersisih dan dianggap kolot tetapi mereka tidak akan dimaki hamun dan tidak dibenci oleh rakyat.

Isnin, 13 Mei 2013

Kenapa DSAI berjaya...

Hari ini adalah tanggal 13 Mei iaitu tarikh hitam dalam sejarah negara yang berlaku pada 1969 akibat daripada keputusan pilihanraya umum dua hari sebelum itu yang dilihat buat pertama kalinya kaum cina dapat menyaingi kerusi Perikatan terutama di negeri Selangor. Hari ini juga tarikh yang sama pergaduhan kaum tidak berlaku tetapi kegusaran Barisan Nasional akan sokongan kaum cina jelas berlaku. MCA ditolak hampir keseluruhannya oleh kaum cina begitu juga rakan- rakan parti cina yang lain di dalam BN.

Mahu tidak mahu itulah kejayaan DAP yang telah memikat sokongan kaum cina dan itu jugalah kejayaan yang dapat dilihat atas usaha Anwar Ibrahim yang bijak memainkan sentimen dan harapan kepada penentang dan pengikutnya. Apa saja skandal atau kes peribadi yang melanda dirinya tidak dapat mematikan langkah perjuangannya bahkan dia semakin liat untuk dilenyapkan oleh musuh- musuhnya. Bukan kerana dia pemimpin yang bersih dan berkebolehan membawa agenda pembangunan yang lebih baik tetapi kerana watak, pidato, jasa dan kelicikannya merebut setiap ruang lalai yang diberi oleh kerajaan BN tambahan pula kerja kritik dan bantah adalah kerja yang lebih mudah jika dibandingkan dengan kerja membina dan membimbing oleh parti yang memerintah. Dengan kata lain nafsu (negatif) berjumlah 9 dan akal (positif) itu 1 menyebabkan ramai yang lebih suka terjerumus dengan nafsu (negatif) jadi kemungkinan besar undi popular yang diperolehi oleh Anwar Ibrahim adalah didokong oleh unsur nafsu (negatif).
Berpunca daripada kecenderungan nafsu inilah BN sukar untuk menarik sokongan terutama golongan muda yang mana sikap memberontak, inginkan kelainan, mementingkan diri, melawan arus adalah sifat semulajadi darah muda. 


Rabu, 8 Mei 2013

Kelantan Tanpa Nik Aziz... kecelaruan bermula


Kerajaan baru kelantan tanpa penglibatan Nik Aziz secara langsung dijangka akan menyebabkan pentadbiran menjadi semakin celaru. Jika sebelum ini di bawah Nik Aziz sebagai Menteri Besar walaupun pentadbiran kurang cekap tetapi atas faktor Menteri Besar yang dihormati dan disegani  para exco dan pentadbir negeri tetap menjalankan tugas dengan bersopan dan tidak terlalu memperlihatkan kuasa dan kerakusan yang dimiliki walaupun unsur tersebut tetap ada. Selepas PRU 13 jawatan MB adalah dipertanggungjawab kepada Ahmad Yaakob yang dipercayai bekerja dalam diam dan tidak menonjolkan diri dalam isu perebutan kerusi MB sewaktu Nik Aziz masih sebagai ketua kerajaan negeri sebagaimana Husam Musa dan Nik Amar. Tetapi sekiranya mengikut pandangan ramai ahli PAS sendiri mereka lebih menggemari Nik Amar memegang jawatan MB berdasarkan hubungan keluarga dan penampilan lebih menghampiri cara Nik Aziz. 
Perkembangan yang tidak memihak kepada arkitek politik PAS di Kelantan iaitu Husam Musa yang dikatakan  oleh Menteri Besarnya, Ahmad Yakob bahawa Sultan Muhammad V di saat-saat akhir menolak nama Husam walaupun pemimpin PAS itu antara yang paling banyak berjasa kepada Kelantan sebelum ini.

Menurutnya, selain Husam, nama Adun Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman juga ada dimasukkan dalam senarai tersebut namun turut tidak mendapat persetujuan baginda.“Nama Husam atas sekali, yang keduanya exco lain termasuk Datuk Amar (Datuk Mohd Amar Nik Abdullah) dan ustaz Latiff (Abdul Latiff). Ini nama kita kemukakan untuk mendapat keizinan tuanku bagi pelantikan exco. “Apabila diangkat, tuanku tak naik (tolak) nama Husam dengan ustaz Latiff, turun (senarai nama dikembalikan) supaya proses semula tanpanya, ini yang memberatkan saya bagaimanapun mengingatkan kalau tidak ikut, tidak boleh angkat sumpah jadi angkatlah saya sebagaimana yang dipersetujui, masa itu sudah dekat pukul 4 petang,” katanya kepada media semalam. Kini ramai pihak dalam kalangan pejuang- pejuang pilihanraya PAS yang melenting bukan sahaja kerana keciciran Husam Musa tetapi juga cara pemilihan teraju negeri sehingga adanya penganjuran bantahan secara menyeluruh di negeri Kelantan.

Senario ini barangkali boleh menumbangkan negeri sekiranya perbezaan kerusi tidak banyak tetapi memandangkan BN hanya memperolehi 12 daripada 45 kerusi Dun menyebabkan BN hanya mampu menyaksikan pentadbiran oleh PAS yang kucar- kacir dan tidak terkawal, menyebabkan rakyat tidak memperolehi manfaat yang sebaiknya di bawah pentadbiran PAS Kelantan.

Jumaat, 1 Februari 2013

Tun M tegur Anwar asyik melondeh seluar...


Apabila mendengar  kenyataan dari mulut Tun Dr Mahathir dalam Buletin Utama hari ini 31 Januari 2013 bahawa  Datuk Seri Anwar Ibrahim ada kaitan dengan pengeluaran Kad Pengenalan kepada pendatang di negeri Sabah sewaktu beliau dalam kerajaan dulu. Rasa pelik, apatah lagi hendak menafikannya malahan saya rasa kenyataan itu akan lebih lengkap sekiranya Tun Dr Mahathir turut mengakui bahawa beliau sendiri menyedari keadaan itu dan saya yakin Tun Dr Mahathir memang mengetahui dan membiarkan keadaan sebegitu dengan hanya menyatakan kerajaan tidak bersekongkol malahan ada membuat tindakan terhadap pihak yang terlibat. Saya juga berani mengatakan kebanyakan parti politik dalam Barisan Nasional tidak menghalang dan parti pembangkang juga tidak  mendapat kesan dengan apa yang sedang berlaku di Sabah waktu itu.
Tetapi hari ini bila setiap undi dianggap terlalu penting kepada parti bertanding terutamanya Pakatan Rakyat (PR) isu ini mula dibongkar.. Untuk siapa dan apa boleh buat, perkara dah berlalu dan yang berlalu itu dulunya tidak diambil berat oleh mana- mana pihak seolah-olah setiap penerima kad Pengenalan akan memberi undi kepada BN dan berkebetulan zaman itu BN terlalu kuat hingga pembangkang hampir pupus di Sabah, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun masih bersama BN, tiada parti dari semenanjung memikirkan apa implikasinya kepada negeri Sabah dan saya yakin hari inilah rakyat Sabah merasai kesannya dan menjelang PRU13 inilah Pakatan Rakyat  mencari onar dan salah kerajaan BN terutama dengan adanya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seolah sedang melondehkan seluar rakannya dulu yang pada waktu yang sama melondehkan seluarnya sendiri hingga Tun Dr Mahathir  terpaksa menegur dan cuba menutup  perbuatan anak didiknya Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan cara mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan perbuatan lampaunya.
Secara benarnya  sebagai sebuah negeri yang telah lama mengamalkan konsep 1Malaysia sebelum gagasan itu dipopularkan kini, rakyat Sabah mengeluh dalam gusar tetapi terpaksa menelan kerana memikirkan kepentingan dan sensitiviti kaum dan agama terutama orang Islam yang hidup bersama.
Orang Islam di negeri Sabah dan Malaysia amnya perlu berterima kasih kepada kepintaran Tun Dr Mahathir  dan pasangannya Datuk Seri Anwar Ibrahim pada waktu itu.
Dalam pemerhatian saya yang secara tak langsung merasai dan mengetahui serba sedikit politik kepartian dan kepentingan agama Islam. Pada mulanya saya hairan dengan meluasnya kegiatan mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang tetapi kemarahan saya dapat ditenangkan bila mendapat tahu bahawa hampir kesemua mereka yang mempunyai kad pengenalan yang ada 'bunga raya' adalah dikalangan orang Pakistan dan Afghanistan  yang bukan sahaja peniaga bijak, punya fizikal yang baik tetapi lebih penting mereka bertindak sebagai mubaligh yang menggempur ke segenap ceruk pedalaman Sabah. Bagi saya yang cintakan perkembangan agama Islam saya terasa begitu kecil hidup di daerah Keningau yang dikelilingi masyarakat beragama kristian yang sepanjang jalanraya  adalah kelihatan gereja kecuali sebuah sahaja masjid di pekan Keningau yang dirasmi oleh Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun dan setiap hari jumaat pendatang inilah yang bersama- sama rakyat dari Indonesia yang menghidupkan solat jumaat. Bukan sahaja pendatang dari Asia Selatan yang mendapat manfaat di Sabah tetapi juga bangsa Moro yang mencari kehidupan di Sabah saya terharu dengan pembelaan dan tindakan kerajaan pusat juga kerjasama kerajaan negeri . Cuma saya akui ini bukanlah kesilapan tetapi disengajakan terutama bagi kes bangsa Pakistan dan Afghanistan yang terang- terang jelas tidak bewajah dan tidak berwatak rakyat kelahiran negeri Sabah.
Dalam hal ini janganlah pula PAS hendak menunjuk pandai, mereka perlu ingat akan kata- kata Mursyidul Am PAS YAB Nik Abdul Aziz Nik Mat  bahawa bumi ini bebas diterokai oleh manusia tanpa sempadan politik jadi tak perlulah mereka menjadi wira membangkitkan semula pemberian kad pengenalan ini.
Manakala DAP dan lain- lain pembangkang bukan Islam.. cukuplah sudah tiada apa lagi hendak dibangkitkan sedangkan dulu mereka hanya diam dan tidak menganggap ia ancaman kerana kebanyakan pemimpin DAP tidak pernah memikirkan akan persaingan agama tetapi lebih mendahulukan kaum sendiri. Mereka tidak peduli walaupun Kristian di Sabah disaingi hebat oleh Islam selepas tersungkurnya Pairin Kitingan di tampuk Ketua Menteri. 
Bagi PKR pula mereka tiada hak langsung untuk membangkitkan apa yang melibatkan sejarah ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya masih ingat apa yang arwah bapa mertua saya ceritakan tentang apa yang dilihat di Hotel Marco Polo di Tawau  yang mana perempuan dikatakan dibawa kepada Datuk Seri Anwar di hotel tersebut dan hal  itu menjadi pasti apabila Tun Dr Mahathir mempercayai tuduhan moral terhadap DS Anwar beberapa tahun kemudian. Hingga hari ini  saya masih mempunyai banyak cerita tentang beberapa pemimpin besar Sabah yang diceritakan oleh arwah mertua saya yang semasa hayatnya pernah bersama- sama otai politik Sabah seperti Lajim Ukim, Jefri Kitingan, Pandikar Amin Mulia dan juga pernah membentuk parti BERSIH dan bertanding di Tawau tahun 80an- 90an
Oleh itu apa yang telah dilakukan oleh kerajaan BN zaman itu bukan semata- mata kerana politik kepartian tetapi juga politik bangsa dan agama bagi negeri Sabah begitu juga apa yang dikatakan Tunku Abdul Rahman lakukan untuk pendatang di awal kemerdekaan negara... semuanya adalah pilihan yang difikirkan terbaik pada waktu itu.

Khamis, 10 Januari 2013

Saya bersetuju dengan YAB Dato' Bentara Tok Guru Nik Aziz Nik Mat

Satu teguran berani oleh YAB Menteri Besar Kelantan tentang tabiat merokok di kalangan penyokong dan pemimpin parti PAS sangat saya hormati dan kagumi. Bukan calang- calang pemimpin yang mampu membuat teguran sedemikian kecuali orang yang menegur itu mestilah bebas dari merokok. Inilah antara tindakan yang saya puji biarpun tahu terlalu ramai orang yang tidak senang dengan teguran tersebut walau daripada parti atau kumpulan mana sekalipun. 
Walaupun YB Dato Nik Aziz Nik Mat tidak menyatakan pendirian tentang hukum haram merokok bagi umat Islam tetapi tindakan beliau yang nyata begitu benci kepada orang yang merokok terutamanya dikalangan pemimpin yang dilihat berpenampilan Islamik dengan berkopiah sepertimana teguran sinisya kepada pemimpin dan pegawai kerajaan negeri dalam program kerajaan negeri di sebuah hotel iaitu berbunyi 
"Pioh (kopiah) cotek atas kepala, mereka ini seolah- olah berlagak seperti seseorang yang mempunyai pistol menunjuk- nunjuk kepada khalayak umum walaupun mempunyai lesen.. lepas tu puntung rokok dilemparkan merata- rata tempat". 
Begitulah tegas dan tergamaknya beliau dalam menegur anak buah terutama yang merokok tetapi pada masa sama memakai kopiah, satu kesalahan yang dikira hampir kepada kesalahan dalam agama bunyi teguran itu.
Menambahkan lagi penghormatan saya pada teguran MB itu adalah beliau mungkin dalam nada yang marah sekali lagi menegaskan tidak akan melantik mana- mana orang menjadi Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Tetapi yang menjadi tanda tanya saya adalah adakah pada majlis perlantikan ahli PBT pada hari tersebut kesemua yang menerima watikah adalah bebas dari amalan merokok ?. Inilah yang dikatakan cakap senang tetapi sukar dikuatkuasa dan diamalkan sebagaimana sukarnya memastikan praturan kaunter berasingan lelaki dan wanita dipatuhi di negeri Kelantan.
YAB Nik Abdul Aziz Nik Mat sangat pantas mengeluarkan arahan yang mungkin dalam sesetengah kes boleh dikatakan 'mulut lebih laju daripada akal'. Walaupun tidak munasabah dan mungkin tidak berjaya  dipraktikkan tetapi saya sekali ingin mempercayai MB kerana beliau menambah 
" Saya pantang kalau merokok. Bagi saya, saya tidak akan pilih mereka yang merokok jadi ahli majlis seperti juga calon wakil rakyat, lainlah kalau saya tidak tahu"
Langkah mendisiplinkan individu dibawah pimpinannya atas alasan merokok tidak baik untuk kesihatan dan juga tabiat merokok adalah buruk. Penegasan beliau telah membuatkan saya percaya bahawa MB ini memang titik beratkan sahsiah diri yang terpuji di dalam kerajaanya. Walaupun tidak begitu berjaya dalam pembangunan fiskal pentadbiran negeri tetapi inilah salah satu sisi baik yang di bawa oleh YAB MB. Dan amalan ini sukar di amalkan oleh kebanyakan kerajaan termasuk kerajaan pusat dibawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Tidak susah untuk membuat andaian kepada apa yang diharapkan oleh MB Kelantan tersebut, pokoknya adalah kepimpinan melalui teladan. Teladan yang baik dari pemimpin yang amalkan amalan yang baik pastinya tidak mampu dicanggah oleh orang bawahan.
Berkenaan keberanian YAB Nik Abdul Aziz Nik Mat menegur dengan tegas amalan merokok dalam pentadbiran negeri saya juga dengan tegas menyokong penuh apa yang diucapkan oleh beliau, dan saya juga berani memuji langkah tersebut kerana saya juga tidak pernah merokok sejak kecil lagi, begitu juga dengan ahli keluarga saya dan arwah bapa saya, keluarga kami bebas dari pengaruh rokok.